Rumah Terbuka Kelab Umno Pantai Timur Di AS Meriah

Diterbitkan: Isnin, 11 Ogos 2014 10:47 AM

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kelab UMNO Pantai Timur Amerika Syarikat yang diadakan di Roosevelt Island's Lighthouse Park di New York pada Sabtu, dihadiri ramai rakyat Malaysia terdiri daripada pelajar dan pegawai-pegawai kerajaan.

Warga Malaysia dari jauh dan dekat - termasuk pasangan rakyat Malaysia dari Kanada turut sama berkunjung ke Lighthouse Park untuk berinteraksi, bertukar-tukar pandangan serta menikmati keenakan makanan Malaysia yang sedia terhidang. Terdapat kira-kira 150 tetamu pada majlis itu.

Dalam temu bual dengan Bernama di majlis berkenaan, Presiden Kelab UMNO Pantai Timur Amerika Syarikat Shamil Norshidi menjelaskan tujuan acara itu diadakan oleh masyarakat Malaysia selepas berlaku dua insiden tragik kehilangan pesawat MH370 dan penembakan pesawat MH17 di Timur Ukraine.

Shamil, 21, pelajar jurusan Sains Politik dan Bahasa Inggeris di Stony Brooke University, New York berkata tujuan utama diadakan majlis itu ialah "untuk berinteraksi dengan masyarakat dan menunjukkan sikap persaudaraan antara satu sama lain".

"Kami juga mahu bertemu satu sama lain selepas dua insiden tragik baru-baru ini (membabitkan Penerbangan MH370 dan MH17) dan berkongsi kesedihan dan pengalaman serta pada masa sama meneruskan kehidupan," katanya.

Shamil berkata ketika Kelab UMNO Pantai Timur Amerika Syarikat di bawah naungannya menganjurkan majlis berkenaan, ia turut menerima sokongan kuat persatuan lain, termasuk Persatuan Amerika Malaysia (MAA) iaitu gabungan semua persatuan Malaysia yang telah memberikan bantuan kewangan.

Pertubuhan lain termasuk Pejabat Tourism Malaysia di New York, Teach for Malaysia (TfM) dan Persatuan Malaysia New York menggemblengkan usaha masing-masing untuk menjayakan acara berkenaan.

Shamil berkata warga Malaysia yang berkumpul dalam majlis di Lighthouse Park ini, benar-benar merasai 'suasana Malaysia'.

"Acara itu juga menyatukan rakyat Malaysia dan membolehkan mereka mengekalkan tradisi Malaysia walaupun kami berada jauh dari tanah air. Ini adalah satu daripada beberapa acara yang kami anjurkan. Sesungguhnya, Kelab UMNO Pantai Timur Amerika Syarikat telah memperkenalkan 'dasar jemputan terbuka' dan mahu bangsa lain seperti Cina, India dan lain-lain menyertai kami dan berkongsi pandangan, isu mereka bersama kami.

"Ini merupakan satu cara untuk kami mengetahui tentang kepentingan mereka dan menyedarkan semua pihak mengenai kepentingan satu sama lain dan oleh itu, mendekatkan antara satu sama lain. Kami juga bercadang untuk mengadakan acara sambutan Deepavali dan Tahun Baharu Cina untuk anggota kami sebagai menghormati dan menyambut perayaan mereka," tambah beliau.

Tetamu utama pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri itu ialah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang datang khas dari Washington DC untuk bersama-sama dan berinteraksi dengan rakyat Malaysia di pantai timur.

Shamil mengumumkan ketibaan duta kepada para tetamu dengan kebanyakan daripada mereka berpeluang bertemu beliau buat kali pertama.

Seorang pelajar wanita Malaysia, yang mengharungi perjalanan selama lapan jam dari Buffalo, memberitahu Bernama bahawa beliau kagum dengan sikap rendah diri Duta Malaysia itu selain pendekatan mesra yang diamalkan beliau.

Yang turut hadir, Konsul Jeneral Malaysia yang baharu baharu di New York Abdul Razak Abdul Wahab dan ketua-ketua agensi kerajaan di New York seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).


Tags / Kata Kunci: Umno , Amerika Syarikat

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan