Kenyataan Khalid Kepada Sultan Selangor Diragui - PR

Diterbitkan: Isnin, 11 Ogos 2014 5:53 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semakin terdesak untuk mengembalikan kuasa mentadbir kerajaan Selangor ke tangan Pakatan Rakyat (PR) apabila meragui maklumat yang disampaikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Sultan Selangor.


Perkara itu disampaikan menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.

Parti yang memecat Khalid itu mempersoalkan dakwaan menteri besar Selangor bahawa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk wakil Umno untuk terus kekal mengisi jawatannya sekarang.

"Jika 12 Adun Umno ini tidak menyokongnya, maka jelaslah beliau telah mempersembahkan maklumat palsu kepada Tuanku Sultan Selangor," kata mereka menerusi kenyataan pada Isnin.

Menerusi kenyataan bersama itu juga, Khalid digesa memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar supaya undi kepercayaan dilakukan terhadapnya.

Kepemimpinan kedua-dua parti dalam PR itu juga mempersoalkan jumlah sokongan majoriti yang diperolehi Khalid memandangkan PAS masih belum menyatakan pendirian mereka berhubung kedudukan Abdul Khalid.

"PAS belum membuat keputusan mengenai sokongan mereka kepada Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar dan Jawatankuasa PAS Pusat hanya akan bermesyuarat pada 17 Ogos ini.

"Oleh yang demikian, kenyataan Tan Sri Khalid kepada pihak Istana bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri itu adalah meragukan," katanya.

Terdahulu, Khalid mengumumkan beliau mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk terus menjalankan tugas sebagai menteri besar walaupun dipecat daripada PKR pada Sabtu lalu.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tahun lalu, PR kembali membentuk kerajaan di Selangor buat penggal kedua apabila memenangi 44 daripada 56 kerusi DUN.

Daripada jumlah itu, PKR mendapat 14 kerusi, sementara PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi, selain 12 DUN lagi milik Barisan Nasional (BN).

Kenyataan itu juga mahu Umno menyatakan secara terbuka bahawa 12 Adun mereka menyokong Khalid seperti mana yang didakwa oleh beliau.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan pada petang Isnin memaklumkan Barisan Nasional (BN) akan menyokong Khalid jika undi tidak percaya diadakan pada sidang DUN Selangor.




Tags / Kata Kunci: Pakatan Rakyat , DUN Tergempar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan