MH17: Kumpulan Pertama Anggota PDRM Kembali Dari Ukraine

Diterbitkan: Ahad, 10 Ogos 2014 1:10 PM

Mohd Fuzi bersalaman dengan anggota PDRM yang selamat kembali dari Ukraine, pagi Ahad.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kumpulan pertama anggota polis yang dihantar ke tapak nahas MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine telah kembali ke Malaysia.

Pasukan berkenaan yang terdiri daripada 27 anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan VAT69, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 6.30 pagi Ahad.

Ketibaan kumpulan itu yang berlepas ke Ukraine pada 30 Julai, disambut oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Muhamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata pasukan itu ditugaskan untuk pergi ke lokasi kemalangan bagi mencari bukti-bukti berkaitan nahas.

"Kumpulan ini telah ditugaskan untuk memberi bantuan sebagai anggota keselamatan di barisan hadapan untuk unit forensik menyiasat dan melakukan kerja-kerja mencari di lokasi kemalangan," katanya kepada pemberita di KLIA.

Beliau berkata kumpulan kedua yang terdiri daripada 11 anggota dari unit forensik akan tiba kira-kira pukul 5.55 petang Ahad manakala kumpulan ketiga petugas akan kembali dari Ukraine pada pukul 6.10 pagi Selasa.

Apabila ditanya sama ada lebih ramai anggota polis akan dihantar ke Ukraine, beliau berkata ia akan diselaraskan mengikut keperluan.

Anggota yang mengetuai kumpulan pertama pegawai-pegawai, DSP Lau Pang Tai berkata misi ini adalah yang pertama bagi dirinya dan ia benar-benar mencabar. 

"Ia adalah tugas yang sangat mencabar.

"Apabila kami berada di sana terdapat bunyi tembakan dan pengeboman tetapi kami berjaya bertahan dan kembali dengan selamat," katanya.

Seorang lagi pegawai polis Korperal Muhammad Hadzmir berkata walaupun mereka berada di sana selama 10 hari, ia adalah pengalaman yang baharu dan bermakna untuknya. 

Beliau berkata, adalah sukar untuk penyiasat memasuki lokasi kemalangan kerana konflik yang berlaku di kawasan itu. 

Katanya, daripada tiga kumpulan dihantar, hanya satu kumpulan yang dapat memasuki dan mencari bukti di lokasi kemalangan.
Tags / Kata Kunci: pasukan PDRM , MH17

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan