Daftar Akaun Facebook Dengan MCMC - Pakar

Diterbitkan: Ahad, 10 Ogos 2014 2:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan agar semua pemilik akaun laman sosial Facebook berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memudahkan pengenalpastian identiti pemilik akaun.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Mohamad Md Yusoff berkata langkah itu adalah wajar berbanding menutup Facebook supaya pemilik akaun tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan laman sosial.

"Sekarang ini, bila berlaku kes seperti menghina (Yang di-Pertuan) Agong, mempersenda agama, fitnah dan sebagainya di Facebook, kita susah nak jejaki siapa yang melakukannya, lepas itu ada pula alasan kena godam, akaun palsu dan server daripada luar," katanya.

Baru-baru ini tindakan individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di laman Facebook oleh pemilik akaun 'Chandra Lawan Tetap Lawan' mendapat kecaman orang ramai dan sehingga kini MCMC sedang bekerjasama dengan polis bagi menjejaki individu itu.

Pensyarah Kanan Program Komunikasi Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Saat Awang Damit pula berkata sekiranya cadangan itu dilaksanakan, MCMC perlu meneliti setiap permohonan pendaftaran akaun laman sosial itu bagi memudahkan pengesanan identiti.

"Misalnya, MCMC terima permohonan hari ini, dia tak boleh lulus terus, ambil masa beberapa hari sehingga ke seminggu untuk pastikan semua butir permohonan seperti nama, alamat, ID pengguna adalah betul," kata Saat.

Katanya ia bertujuan mewujudkan suasana bertanggunjawab di kalangan pengguna Facebook di samping menggunakan laman sosial itu untuk memberikan idea-idea bernas.

Saat juga berkata keintelektualan seseorang individu yang berkongsi komen atau pandangan melalui media sosial perlu kena pada tempat dan asasnya supaya tidak berlaku salah faham dan maklumat tidak tepat disebarkan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Komunikasi FKSW UMS Dr Haryati Abdul Karim berkongsi pandangan sama agar pemilik akaun laman sosial itu berdaftar dengan MCMC.

Beliau berkata adalah tidak wajar menutup Facebook hanya disebabkan oleh segelintir pihak yang menyalahgunakan fungsi laman sosial itu.

Dalam pada itu, Haryati mencadangkan agar satu undang-undang seperti Anti- Ungkapan Kebencian diwujudkan yang menghalang seseorang itu daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya dan boleh menimbulkan kebencian serta menghina bangsa, etnik, agama dan kewarganegaraan.

Undang-undang itu banyak diguna pakai di Eropah seperti Denmark, Perancis, Belanda dan United Kingdom bagi mengekang golongan yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan laman sosial dengan mengeluarkan kenyataan kesat dan fitnah untuk menimbulkan rasa benci masyarakat.

Jumaat lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan bersedia mengkaji kewajaran menutup laman sosial Facebook ekoran pelbagai penyalahgunaan di laman itu.

Beliau berkata kementerian akan menjalankan kajian bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung perkara itu.


Tags / Kata Kunci: Facebook , MCMC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan