Keputusan PKR Pecat Khalid Sudah Dijangka - PAS Selangor

Diterbitkan: Sabtu, 9 Ogos 2014 9:43 PM

Iskandar Samad.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tindakan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti berkuat kuasa serta-merta sudah dijangka, kata Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad.

Katanya, beliau kini hanya menunggu arahan daripada parti mengenai tindakan selanjutnya.

"Saya telah menjangka Abdul Khalid akan dipecat apabila PAS Pusat menangguhkan tarikh mesyuarat mereka. Saya sekarang hanya menunggu arahan daripada parti saya," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Ketika mengumumkan keputusan MPP itu di Petaling Jaya pada Sabtu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata keputusan sebulat suara MPP itu dibuat berdasarkan tindakan Abdul Khalid mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Tan berkata selain itu, Abdul Khalid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang juga telah ingkar beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Rakyat, termasuklah menangguhkan proses dan perbincangan projek Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar, Exco dan ADUN Selangor.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim ketika dihubungi bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

Tags / Kata Kunci: PAS Selangor , MB Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan