Khalid Terima Pemecatan, Kekal MB Selangor

Diterbitkan: Sabtu, 9 Ogos 2014 8:51 PM

Khalid Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam reaksi segeranya menyatakan beliau menerima keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membatalkan keahliaannya.

Bagaimanapun beliau menegaskan akan meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar sehingga isu tersebut diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang.

"Saya menerima keputusan PKR untuk membatalkan keahlian saya dalam parti walaupun keputusan tersebut adalah salah dan cacat dari segi undang-undang.


"Pihak parti sesungguhnya keliru dengan butir-butir pertuduhan yang mahu dikenakan terhadap saya. Malah, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin gagal menyatakan secara khusus peruntukan mana di dalam Perlembagaan Parti yang telah saya cabuli," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu. 

Khalid berkata, beliau juga akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi penjelasan kepada baginda mengenai situasi terkini yang berlaku. 

"Saya akan mengadap Sultan Selangor untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan terbaru ini, seterusnya mendengar pandangan baginda yang boleh dikongsi. 
 
"Sehingga isu ini diselesaikan mengikut  prosedur yang betul, mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri. 

"Saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar  mengikut kemampuan saya," katanya. 

Jelasnya, beliau juga telah memohon agar Jawantakuasa Disiplin menangguhkan sesi penjelasan dengan mencadangkan agar ia diadakan pada 15 Ogos ini untuk beliau memberikan jawapan balas. 

Sebaliknya Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin tetap meneruskan pendengaran tanpa terlebih dahulu mendengar penjelasan daripada beliau.

"Saya tidak diberi peluang dan proses yang adil untuk menjawab semua tuduhan terhadap saya mengikut tatacara yang teratur dan adil. Saya percaya ada tindakan sabotaj daripada pihak tertinggi parti," katanya. 

Terdahulu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada petang Sabtu sebulat suara memecat Khalid sebagai ahli parti  berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Tan Kee Kwong selepas mesyuarat MPP parti di ibu pejabat parti  di sini. 

Tan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Khalid didapati mengingkari keputusan MPP yang sebulat suara memilih Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar yang baharu pada 21 Julai lalu.

Tags / Kata Kunci: MB Selangor , Abdul Khalid

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan