Denggi: Subramaniam Saran Tukar Kontraktor Jika Gagal Urus Sisa Pepejal

Diterbitkan: Jumaat, 8 Ogos 2014 7:58 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam mencadangkan supaya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggantikan kontraktor yang gagal melaksanakan kerja pengurusan sisa pepejal.


Beliau berkata, ini bagi memastikan kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilakukan secara berkesan supaya kawasan persekitaran bebas nyamuk Aedes yang membawa virus denggi.

Katanya, langkah drastik itu wajar bagi mencegah penularan wabak denggi berikutan peningkatan jumlah kes denggi yang dilaporkan hampir 2,800 kes dicatatkan setiap minggu di seluruh negara.

"Selain itu, pembabitan orang ramai juga penting untuk bersama-sama membantu kerajaan mencegah wabak denggi," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kesihatan Masyarakat India 1Malaysia di SJK(T) Taman Tun Aminah, Skudai di sini, Jumaat.

Subramaniam berkata, selain kerjasama berterusan dengan KPKT, kementeriannya juga menswastakan aktiviti semburan kabus, mengedar kit diagnosis yang mampu mengesan virus demam denggi kepada doktor swasta dan menambah kakitangan kementerian bagi mengawal wabak denggi.

Beliau berkata, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini sebanyak 57,953 kes denggi dengan 120 kes kematian dilaporkan di seluruh negara.

"Kita juga bimbang dengan peningkatan kes denggi di Selangor yang setakat ini sudah mencatatkan 17 kes kematian, Negeri Sembilan (tiga), Johor (17) dan Kelantan (sembilan)," kata Subramaniam.

Beliau menegaskan kerjasama semua pihak penting untuk mengawal wabak denggi.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan