Khalid Kongsi Kandungan Surat Tunjuk Sebab Kepada Umum

Diterbitkan: Jumaat, 8 Ogos 2014 1:35 PM

Surat tunjuk sebab yang dikeluarkan PKR kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memuatnaik surat tunjuk sebab yang diserahkan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tatapan masyarakat umum, khususnya rakyat Selangor.

Abdul Khalid berkata, surat tunjuk sebab tersebut telah diserahkan pada pagi Jumaat melalui wakilnya, namun tidak menyatakan bila dan di saluran mana surat tersebut akan dimuat naik.

"Surat tunjuk sebab telah dihantar pada pagi ini.

"Semua kenyataan dalam surat itu saya akan dimuat naik untuk perhatian umum," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini, Jumaat.

Abdul Khalid berkata antara yang terkandung dalam surat tersebut termasuklah meminta supaya sesi pendengaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Disiplin parti kepadanya ditangguhkan kepada 15 Ogos ini.

Beliau sebelum ini telah diarahkan untuk hadir ke sesi pendengaran pada mana-mana dua pilihan tarikh yang diberikan iaitu pada pukul 3 petang (8 Ogos) atau sebelah pagi (9 Ogos).

Bagaimanapun, beliau berkata tidak dapat memenuhi arahan tersebut kerana mempunyai temujanji bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar pada petang 8 Ogos selain difahamkan mempunyai urusan lain pada pagi 9 Ogos.

"Oleh kerana masa sangat suntuk saya telah meminta supaya jika perlu pendengaran dibuat pada 15 Ogos ini.

"Saya tidak akan pergi (Jumaat & Sabtu). Saya tunggu jawapan balas daripada mereka," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Sultan Selangor, Abdul Khalid berkata, tiada perbincangan mengenai krisis politik negeri dibuat.

Abdul Khalid menerima desakan dan tekanan apabila terdapat pihak-pihak tertentu cuba menyingkirkannya dari kerusi menteri besar bagi menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah.
Tags / Kata Kunci: Khalid , MB Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan