Krisis MB Selangor: Surat Tunjuk Sebab Adil, Tiada Cacat Cela

Diterbitkan: Khamis, 7 Ogos 2014 8:29 AM

N.Surendran

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mungkin menyatakan bahawa surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepadanya tidak spesifik dan mempunyai 'cacat cela', tetapi dinafikan oleh Naib Presiden PKR N.Surendran, yang menyatakan bahawa ia adalah adil dan mengikut prosedur yang betul. 

Surendran berkata kritikan ADUN Pelabuhan Klang itu adalah tidak berasas kerana adil mengikut prosedur hanya memerlukan pertuduhan terhadap anggota pihak yang bersalah yang dinyatakan dengan jelas di dalam surat tunjuk sebab. 

"Ini yang dilakukan. Dakwaan surat bertarikh 5 Ogos 2014 menyatakan Khalid melalui satu kenyataan akhbar bertarikh 22 Julai 2014 mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat PKR memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

"Bermakna, tiada yang kabur atau kurang spesifik dalam surat itu seperti dakwaan Khalid. Surat itu memberi peluang menerangkan tindakannya, memenuhi kehendak keadilan asasi," kata Surendran dalam satu kenyataan media, Rabu.

"Tiada keperluan memetik peruntukan khusus di bawah perlembagaan parti seperti diminta Khalid dalam suratnya kepada Pengerusi Lembaga Disiplin Datuk Dr Tan Kee Kwong," katanya.

Pada Selasa, PKR memberikan surat tunjuk sebab kepada Khalid bagi keengganan beliau untuk berundur sebagai Menteri Besar Selangor. 

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Khalid mengeluh bahawa 'Langkah Kajang' yang melibatkan penyingkiran beliau, adalah tidak adil kerana butirannya tidak pernah dijelaskan kepadanya sejak mula lagi.

Beliau juga bertegas untuk melengkapkan penggal kedua di pejabat menteri besar.

Pemimpin-pemimpin PAS juga secara terbuka menyokong Khalid kekal sebagai MB dan pada Rabu, termasuklah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ini mendorong PKR membuat pendedahan mengenai Khalid untuk meyakinkan sekutu mereka pada Selasa.

"Mengenai kedudukannya sebagai menteri besar, adalah menakjubkan melihat Khalid bersungguh-sungguh berpegang kepada kerusi itu walaupun parti membuat keputusan menukarnya.

"Tindakan itu bertentangan dengan semua kebiasaan dan amalan terdahulu dalam demokrasi moden berasaskan parti politik. Pendiriannya tidak bermaruah. Beliau mesti terima keputusan parti dan tinggalkan pejabatnya," katanya.

PKR telah memberikan tempoh tiga hari untuk beliau bertindak balas terhadap surat tunjuk sebab.

Sebagai tindak balas, Khalid telah mengulangi kesediaannya untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan kepadanya oleh pemimpin-pemimpin parti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan