Surat Tunjuk Sebab: Khalid Dedah Rahsia Langkah Kajang

Diterbitkan: Rabu, 6 Ogos 2014 8:49 PM

Abdul Khalid Ibrahim

Abdul Khalid Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akhirnya mengakui bahawa beliau tidak pernah bersetuju dengan 'Langkah Kajang' yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR), terutama berhubung nasibnya sebagai Menteri Besar Selangor.

Mendedahkan perkara itu, Abdul Khalid berkata, 'Langkah Kajang' dilaksanakan sebagai 'arahan' oleh partinya  tanpa memberi pertimbangan  wajar mengenai kedudukannya sebagai Ketua Eksekutif Selangor.

"Alasan untuk 'Langkah Kajang' tidak pernah dikemukakan kepada saya secara tulus dan ikhlas supaya saya dapat menghalusinya. Alasan yang kononnya telah diberikan adalah berubah-ubah dan tidak menentu serta mewujudkan kekeliruan.

"Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah bersetuju dengan tindakan 'Langkah Kajang' yang dilakukan Lee Chin Cheh dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang tanpa alasan munasabah yang ternyata mencemar prinsip demokrasi dan mengkhianati kepentingan rakyat Selangor," katannya pada Rabu.

Beliau berkata demikian menerusi jawatan bertulis bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR terhadapnya.

Pada Selasa, Abdul Khalid diberikan surat tunjuk sebab yang perlu dijawab dalam tempoh tiga hari berakhir Jumaat ini ekoran keengganannya melepaskan jawatan Menteri Besar selaras dengan keputusan parti itu untuk menggantikan  beliau dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Untuk rekod, 'Langkah Kajang' menyaksikan Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR bertanding di kerusi DUN Kajang di mana Abdul Khalid dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya.

Selain itu,  menerusi surat jawapan setebal tiga mukasurat tersebut, Abdul Khalid menyifatkan tindakan PKR untuk memaksanya melepaskan jawatan Menteri Besar dibuat secara pramatang dan 'tidak boleh dilakukan'.

Jelas beliau, PKR meneruskan 'Langkah Kajang' untuk menggulingkannya tanpa persetujuan sepenuhnya sekutu Pakatan Rakyat serta tidak mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Jika keputusan tersebut dilaksanakan, ia merupakan satu tindakan merbahaya dan akan memprejudiskan kestabilan kerajaan negeri selain ianya satu tindakan yang tidak adil bukan sahaja terhadap saya tetapi kesemua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat negeri ini," katanya.

Tegas Abdul Khalid lagi, PKR tidak mempunyai sebarang alasan kukuh untuk memaksanya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

"Saya ingin tegaskan bahawa setelah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya perlu menghormati obligasi saya untuk menegakkan peruntukan undang-undang tersebut.

"Yakni saya masih mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan tidak terdapat apa-apa alasan mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Selangor mengapa saya seharusnya meletak jawatan," katanya.
Tags / Kata Kunci: surat tunjuk sebab , Abdul Khalid

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan