Selangor Upah Perunding Bebas Nilai Keselamatan Air Lombong

Diterbitkan: Isnin, 4 Ogos 2014 6:41 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor telah mendapatkan khidmat perunding bebas untuk menamatkan keraguan terhadap keselamatan penggunaan air dari lombong bagi menambah air mentah di Sungai Selangor. 

Jawatankuasa pasukan petugas air negeri berkata, perunding, CH2MHILL, telah bersetuju untuk menjalankan penilaian keselamatan air minuman dan risiko kesihatan awam dari air Sungai Selangor yang ditambah dengan air yang disimpan di lombong.

"Walaupun melibatkan kos yang tinggi, kajian ini masih akan dilaksanakan bagi memastikan kepentingan keselamatan air kepada pengguna," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan akhbar, Isnin. 

CH2MHILL adalah sebuah syarikat perunding antarabangsa yang pakar dalam reka bentuk, reka bentuk-bina, operasi dan pengurusan program, yang beribu pejabat di Englewood, Amerika Syarikat.

Kumpulan pengguna telah menyuarakan kebimbangan terhadap air dari lombong yang dicemari dengan logam berat dan boleh memburukkan lagi pencemaran di sungai.

Sungai Selangor adalah sumber air mentah kepada 62 peratus daripada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Walau bagaimanapun, rizab air di empangan Sungai Selangor dan Bukit Tinggi, yang melepaskan bekalan ke dalam sungai semasa musim kering, masing-masing telah menurun ke 32.74 peratus dan 46.19 peratus.

Ini telah membawa kepada kebimbangan berlakunya krisis air.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri menegaskan bahawa catuan air adalah tidak perlu memandangkan air dari sumber alternatif sedang dipam ke dalam sungai dari kolam lombong, manakala operasi pembenihan awan yang berterusan telah menyebabkan hujan turun.
Tags / Kata Kunci: Empangan Sungai Selangor , lombong , CH2MHILL

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan