KL Menang Bida Jadi Hos Kongres Worldchefs Pada 2018

Diterbitkan: Isnin, 4 Ogos 2014 10:46 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur memenangi bidaan untuk menjadi hos Kongres Worldchefs pada 2018 yang menyasarkan menjana anggaran RM11 juta dari segi impak ekonomi dengan kehadiran kira-kira 1,000 perwakilan dari seluruh dunia.

Menurut Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB), kejayaan Malaysia dalam bidaan itu mengesahkan reputasi KL sebagai syurga kulinari menerusi acara berprestij itu, anjuran World Association of Chef's Societies (Worldchefs) yang diasaskan pada 1928 di Sorbonne, Paris.

Acara itu akan menghimpunkan pakar kulinari untuk membincangkan perkembangan dalam bidang itu dan pada masa sama menawarkan yang terkini dalam bidang makanan dan minuman pada pemeran perdagangan, katanya dalam kenyataan.

Malaysia memenangi bidaan itu pada Kongres Worldchefs 2014 yang berlangsung baru-baru ini di Stavanger, Norway kerana ia berjaya memenuhi citarasa perwakilan menerusi juadah terpilih iaitu satay, roti jala dan chikuteh di ruang pamerannya, selain memenuhi syarat.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Zulkefli Sharif berkata pemilihan KL mengesahkan daya saing dan kepelbagaian kulinari Malaysia dan MyCEB teruja untuk menjadi hos dunia kulinari pada 2018.

Sementara itu, Pengarah Worldchefs Benua Asia, Rick Stephen berkata para perwakilan kagum dengan persembahan dan kepelbagaian kulinari di Malaysia dan mahu merasai lebih banyak juadah Malaysia.

Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia yang membida dan mengalahkan Hong Kong untuk menjadi wakil benua pada pusingan awal.

Selain Norway, acara dua tahun sekali itu sebelum ini dihoskan oleh Korea Selatan, Chile, Emiriah Arab Bersatu, New Zealand dan Ireland.
Kongres Worldchefs 2016 akan diadakan di Athens, Greece. 

Tags / Kata Kunci: Worldchefs 2018

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan