Rakyat Harus Kibar Jalur Gemilang

Diterbitkan: Isnin, 4 Ogos 2014 1:35 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Sebagai warganegara yang mencintai tanah tumpah darahnya, rakyat negara ini seharusnya mengibarkan Jalur gemilang dengan penuh rasa bangga dan rela hati bagi menunjukkan semangat patriotisme.

Malah kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, kerajaan tidak perlu mengadakan kempen secara besar-besaran untuk tujuan itu setiap tahun.

"Bulan kemerdekaan pada tahun ini dalam suasana hari raya sewajarnya disambut dengan penuh kesyukuran dan tidak perlu kempen besar-besaran.

"Kita sebaliknya perlu mengukuhkan perpaduan untuk saling melengkapi kehidupan ini dalam aman dan harmoni," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang peringkat negeri di sini, Isnin.

Musa berkata kempen itu seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh rakyat di Sabah dengan bersama-sama mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada negara yang menikmati kemerdekaan sejak 57 tahun lepas.

Kempen mengibar Jalur Gemilang yang bermula hari ini akan berlangsung selama dua bulan sehingga 4 Okt bersempena sambutan hari lahir rasmi Yang Dipertua Negeri Sabah.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kemerdekaan Datuk Seri Yahya Hussin dalam ucapannya berkata tema sambutan 'Malaysia: Di sini Lahirnya Sebuah Cinta' bertepatan dan sesuai untuk menitikberatkan kepentingan kesetiaan dan ketaatan kita sebagai warganegara ini.

"Cinta terhadap tanah tumpah darah kita sepatutnya tidak berbelah bahagi dan dibuktikan dengan sikap kita untuk mengibarkan Jalur Gemilang," katanya.

Beliau berkata pengagihan bendera dan Jalur Gemilang itu adalah untuk memberi teladan yang baik supaya dicontohi dan dilaksanakan oleh rakyat di negeri ini.


Tags / Kata Kunci: Jalur Gemilang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan