Langkah Tepat Khalid Tandatangani Perjanjian Isu Air

Diterbitkan: Ahad, 3 Ogos 2014 7:36 PM

Datuk Seri Noh Omar

(Ubah saiz teks)

TANJONG KARANG: Tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memeterai Perjanjian Dasar Induk dengan kerajaan persekutuan berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu pada Jumaat dilihat sebagai satu langkah tepat. 

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata walaupun Abdul Khalid terus diberi tekanan hebat pemimpin Pakatan Rakyat (PR), namun tindakan tersebut memperlihatkan kesedaran beliau untuk mendahulukan rakyat.

"Abdul Khalid kini sudah berani untuk tandatangani perjanjian air dengan kerajaan persekutuan, namun apa yang kita minta beliau juga perlu berani dedahkan mengapa pemimpin PR masih berkeras mahu menjatuhkannya," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjong Karang di sini Ahad.

Pada Jumaat lepas, Abdul Khalid yang mewakili kerajaan Selangor menandatangani perjanjian tersebut, memberi jaminan kadar tarif air di Lembah Klang tidak akan dinaikkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Noh berkata belum pun selesai krisis air, wakil rakyat Pelabuhan Klang itu dihimpit pula dengan kemelut perebutan jawatan Menteri Besar yang disandangnya namun ini dilihat semata-mata sebagai gimik politik untuk menarik semula perhatian rakyat kepada PR. 

"Pakatan Rakyat kini mulai longgar dan lemah jadi isu-isu sebegini sengaja dimainkan untuk tarik balik perhatian rakyat, namun kita tunggu dan lihat kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku.

"Pada saya, Abdul Khalid perlu ambil kesempatan ini untuk jelaskan kepada rakyat mengapa beliau diberi tekanan hebat dari pelbagai sudut oleh partinya sendiri iaitu PKR sedangkan PAS menyokong beliau kekal sebagai MB," katanya.

Jelas Noh, Umno Selangor akan terus bersedia dengan apa saja kebarangkalian berhubung kemelut tidak berkesudahan itu termasuk pilihan raya semula, pemilihan Menteri Besar baharu, usul undi tidak percaya mahupun Abdul Khalid masih memegang jawatan berkenaan.

Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pada 20 Julai lepas menerima cadangan untuk menggantikan Abdul Khalid dan mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.
Tags / Kata Kunci: isu air , Datuk Seri Noh Omar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan