Operator Bas Masih Guna Pemandu Positif Dadah Akan Dikenakan Tindakan

Diterbitkan: Sabtu, 2 Ogos 2014 5:52 PM

(Ubah saiz teks)

BATU PAHAT: Kementerian Pengangkutan akan mengenakan tindakan keras termasuk menggantung lesen, terhadap pengusaha bas ekspres yang didapati masih menggunakan khidmat pemandu yang disahkan positif dadah. 

Timbalan Menterinya Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu itu demi menjamin keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Menerusi pemeriksaan rawak yang diadakan di terminal bas di seluruh negara, didapati masih ada pemandu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah, katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Seri Gading, di Kampung Parit Jelutong, Parit Raja sini hari ini.

Menerusi Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan bagi tempoh 21 hingga 31 Julai lalu, sebanyak 45,240 kenderaan diperiksa termasuk 8,136 buah bas. 

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 39 bas diambil tindakan dan sebanyak 41 pelbagai jenis kesalahan dicatatkan.
 
"Menerusi saringan air kencing yang dijalankan, tujuh pemandu bas didapati positif dadah dan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut, " kata Abdul Aziz.

Fokus utama Ops Bersepadu yang diadakan sehingga 5 Ogos ini bersama AADK adalah untuk mengesan pemandu bas yang menggunakan dadah melalui ujian saringan air kencing.

Sebanyak 1,800 anggota penguat kuasa termasuk 500 daripada Skuad Muda JPJ terlibat dalam operasi itu. 
Tags / Kata Kunci: operator bas , pemandu , positif dadah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan