Tee Keat Gesa ICAO Bertanggungjawab Ke Atas MH17

Diterbitkan: Jumaat, 1 Ogos 2014 1:31 PM

Ong Tee Keat.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat menggesa ICAO, badan penerbangan awam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)
meningkatkan peranannya bagi mengelak tragedi seperti MH370 dan MH17 berulang.

ICAO ialah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, agensi khusus di bawah PBB bagi membangunkan standard antarabangsa dan mencadangkan amalan peraturan penerbangan awam antarabangsa.

"Tragedi jet MH17 terhempas sangat tragik. Dalam mendepani tragedi itu, sudah sampai masanya untuk ICAO menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin memandangkan ia sebuah badan kawal aturan PBB yang memantau penerbangan awam," katanya.

"Sebelum kejadian itu, tiada nasihat dikeluarkan oleh ICAO mengenai risiko terbang di ruang udara Ukraine, terutama di zon perang di Timur. Selepas berlakunya tragedi itu, walaupun dikritik masyarakat antarabangsa, IACO masih berdiam diri."

Ong mengulas hakikat bahawa setelah hampir dua minggu pesawat MH17 terhempas, ICAO belum pun mengadakan mesyuarat tergempar majlis eksekutifnya, langlah yang dilakukannya selepas jet Soviet menembak jatuh pesawat syarikat penerbangan Korea Selatan pada 1983 dan kapal US menembak jet penumpang Iran pada 1988. 

Ong ialah Menteri Pengangkutan yang memain peranan penting memasukkan Malaysia sebagai anggota ICAO.

"Berdasarkan pengalaman MH17, MAS wajar menimbang semula pergantungannya kepada IACO," kata Ong.

Mengulas kritikan ke atas MAS yang terbang di Ukraine, Ong berkata: "... MAS tidak harus dipersalahkan kerana ia bukan syarikat penerbangan tunggal yang terbang di ruang udara Ukraine. Ia hanya merupakan satu daripada beratus pesawat yang menggunakan laluan yang diluluskan itu."

Ong juga berkata kawalan trafik udara Ukraine juga perlu bertanggungjawab kerana memberikan pelepasan kepada Malaysia Airlines untuk terbang di ruang udaranya.

"ATC Ukraine perlu membuat penjelasan kepada masyarakat antarabangsa mengenai kewajarannya mengarahkan MH17 terbang pada paras lebih rendah pada 33,000 kaki dan tidak pada ketinggian 35,000 kaki yang ditetapkan sebelum itu.

"Saya bangkitkan perkara ini bukan untuk mencari salah siapa, namun bertujuan memastikan tiada perkara yang diketepikan dalam siasatan untuk mengetahui punca sebenar tragedi ini," kata Ong.

"Malaysia tidak sepatutnya dijadikan korban dalam konflik geopolitik membabitkan Rusia, Ukraine, US dan sekutunya.

"Mereka yang bertanggungjawab ke atas kejadian ini perlu dihukum kerana telah melakukan jenayah tidak berperikemanusiaan, perbuatan keji dan tidak bertamadun dengan menembak jatuh jet awam."

Sementara itu, dua anggota parlimen (MP) menggesa Malaysia mengkaji semula nasihat ICAO.

MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyuarakan kebimbangannya dan berkata MAS wajar melakukan analisis risiko bebas bagi laluannya.

"Jangan bergantung sepenuhnya kepada ICAO. Saya menggesa kerajaan mengkaji semula perkara ini dan memastikan kita dapat menjamin keselamatan pesawat-pesawat kita," katanya.

MP Seremban Anthony Loke turut berkongsi sentimen Mahfuz dengan menggesa MAS supaya tidak bergantung sepenuhnya ke atas garis panduan ICAO.

"ICAO juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa bukan bidang kuasanya untuk memutuskan laluan mana yang selamat atau tidak.

"Oleh itu kita tidak wajar bergantung kepada mereka (ICAO)... kita perlu gunakan pendekatan baharu," kata Loke.

Beberapa kumpulan juruterbang sangat kritikal terhadap analisis risiko semasa dan proses makluman.

Penerbangan Malaysia Airlines 17 "mendedahkan kelemahan ketara - jika tidak pun kegagalan - risiko penilaian dan ancaman antarabangsa dalam penerbangan awam," kata Nico Voorbach, Presiden Persatuan Kokpit Eropah yang mewakili para juruterbang.

Kontroversi mengenai sejauh mana amaran keselamatan dikeluarkan atau disahkan merupakan kegagalan besar dalam siasatan penerbangan MH17. 

Penyiasat Belanda berkata mereka mahu menyiasat keputusan dan amalan syarikat penerangan membabitkan amaran mengenai zon perang.

ICAO pada masa ini mempunyai peranan yang terhad dan tidak boleh membuka atau menutup ruang udara. 

Pada mesyuarat baru-baru ini, badan penerbangan awam PBB itu berkata ia akan segera menubuhkan pasukan petugas mengenai keselamatan syarikat penerbangan, dan menyatakan bahawa walaupun ia kompleks dan sensitif dari segi politik, tindakan segera perlu diambil selepas MH17 terhempas.

ICAO, bersama-sama industri penerbangan dan kumpulan penerbangan lain berkata mereka akan mengkaji sejauh mana maklumat keselamatan boleh dikumpul dan disebarkan dengan betul. 

Badan itu akan mengadakan persidangan keselamatan pegawai atasan pada Februari 2015 untuk membincangkan perkara itu.

Tags / Kata Kunci: Ong Tee Keat , ICAO , MH17

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan