Kisah Sedih Hari Raya Banduan Baharu Dibebaskan

Diterbitkan: Jumaat, 1 Ogos 2014 12:35 PM

Hari-hari terakhir banduan (kanan berbaju biru) sebelum dibebaskan dan berpeluang menyambut hari raya bersama keluarga. Foto SAMUEL ONG / THE STAR

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sambutan Aidifitri tahun ini amat berbeza buatnya berbanding tahun-tahun sebelum ini. Dia tidak lagi bersama sebahagian 36,000 penghuni penjara beragama Islam yang berpeluang bertemu dengan keluarga masing-masing pada hari raya ketiga dan keempat.

Selama 12 tahun dipenjara, sudah 11 kali dia menyambut Aidilfitri di sebalik tembok besi, yang memisahkan kehidupannya dengan dunia luar.

Dalam tempoh itu, ahli keluarganya tidak pernah jemu datang melawat untuk bersama-sama menyambut hari mulia meskipun dalam keadaan terbatas.

Bagaimanapun hari raya kali ini adalah saat yang paling berharga buat Azman (bukan nama sebenar), 32, kerana berpeluang untuk beraya bersama keluarga di luar penjara apabila dibebaskan daripada hukuman penjara 12 tahun pada 25 Julai lalu.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik ini begitu gembira kehidupan baru di luar penjara sehingga merasakan seolah-olah tidak percaya dengan peluang keemasan tersebut.

“Saya bersyukur keluarga tidak pernah jemu datang melawat saya terutama pada hari raya tetapi perasaan dan suasana mana mungkin sama kerana semuanya terbatas.

“Sejak dipenjarakan pada 2002, setiap tahun saya menyambut hari raya di dalam penjara. Rasa sebak setiap kali tiba 1 Syawal. Namun kali ini, saya amat gembira,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Azman (bukan nama sebenar) (kanan) ketika ditemuramah di Penjara Kajang.

Menghitung hari untuk dibebaskan merupakan dugaan paling hebat buat Azman dari Temerloh, Pahang, terutama apabila menjelang Ramadan pada akhir Jun lalu.

“Sebelum ini, saya tidak pernah menghitung hari pembebasan sebab saya tahu tarikhnya. Tetapi bila tahun ini baru saya sedar tarikh pembebasan itu jatuh hanya beberapa hari sebelum hari raya, perasaan saya berbelah-bahagi, rasa macam-macam.

“Mulalah saya tak senang duduk. Fikiran saya sentiasa membayangkan sambutan Aidilfitri kali ini dapat bersama keluarga di luar penjara,” katanya yang begitu bersyukur yang dibebaskan daripada kesalahan membunuh tanpa niat.

Mengenai hari raya kali ini, Azman berkata, tumpuannya adalah menghabiskan masa bersama keluarga dan menjalani kehidupan baharu dengan menjadi insan berguna.

Dia bagaimanapun berkongsi keinginan untuk menikmati masakan rendang dan ketupat masakan ibunya, yang menjadi antara makanan kesukaannya pada hari raya.

Menurut Azman, dia benar-benar menyesal dan mahu kembali ke masa sebelum peristiwa hitam bagi memperbetulkan kesilapan dan kesalahan lalu.

“Setiap kejadian itu ada hikmahnya. Apa yang penting sekarang adalah saya mahu membuat kebaikan. Azam saya mahu berubah,” katanya sambil berkongsi antara kenangan manis di penjara apabila mendapat tempat kedua dalam pertandingan hafazan dengan persaingan cukup sengit melibatkan lebih 100 penghuni pada 2011.

Sementara itu, Ikmal (bukan nama sebenar), 27, dari Kuala Lumpur ini boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi membohongi dua anaknya, masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun mengenai ‘kehilangannya’ selama hampir empat tahun.

Dia yang dipenjarakan atas kesalahan samun berkata, sebelum ini alasan yang terpaksa diberikan oleh ibu bapanya adalah dia bekerja di Singapura dan sukar mendapat cuti untuk pulang ke Malaysia.

“Setiap kali anak-anak tanya ‘Papa’ (gelaran bapa dipanggil anak-anaknya), mereka terpaka diberitahu yang saya tidak dapat bercuti dan akan balik suatu hari nanti.

“Paling sedih bila tiba hari raya, ibu bapa saya datang melawat dan saya tidak mengizinkan anak-anak datang ke penjara. Saya tidak mahu mereka tahu saya di sini,” katanya yang sudahpun bercerai sebelum dipenjarakan.

Ikmal (bukan nama sebenar) (kanan) mahu menjadi bapa yang terbaik buat dua anaknya.

Ikmal yang bergenang air mata turut berkongsi saat adik lelakinya memberitahu kedua-dua anaknya mengenai dia akan pulang berhari raya pada Aidilfitri kali ini.

Kedua-dua anaknya begitu gembira bila mendapat tahu mengenai perkara tersebut, dan adik lelakinya ada bertanya: “Nak Papa bagi hadiah apa bila balik raya nanti?”

Anak-anaknya yang masih kecil itu hanya menjawab: “Tak nak apa-apa. Papa sampai je kat pintu (rumah), nak peluk papa kuat-kuat. Nak peluk je, rindu sangat kat Papa.”

Tanpa mencerita panjang lebar mengenai persiapan raya bersama keluarga, apa yang ingin dilakukan Ikmal pada hari lebaran ini adalah memenuhi hasrat anak-anaknya.

“Jika pelukan itu yang mereka mahu, itu yang saya beri. Bagaimanapun, selepas ini saya mahu menjalani kehidupan baharu bersama keluarga terutama anak-anak.

“Saya mahu menebus balik setiap detik ‘kehilangan’ saya dengan menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab. Saya mahu ambil hati mereka semula.

“Pada hari raya yang penuh kemuliaan ini, saya melihat ia sebagai permulaan yang baik untuk saya melakukan perubahan. Saya mahu jadi Papa yang terbaik buat mereka,” kata Ikmal yang turut dibebaskan pada 25 Julai lalu dan mahu berniaga suatu hari nanti. 

Tags / Kata Kunci: Penjara Kajang , banduan

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan