Unicef Gesa Keganasan Di Gaza Dihentikan Demi Kanak-Kanak - Berita Semasa | mStar

Unicef Gesa Keganasan Di Gaza Dihentikan Demi Kanak-Kanak

Diterbitkan: Khamis, 31 Julai 2014 12:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) menggesa semua pihak bertindak dengan waras dan menamatkan konflik di Gaza, terutama demi kesejahteraan kanak-kanak.

Pengarah eksekutifnya Anthony Lake berkata Unicef juga berharap petugas bantuan kemanusiaan dibenarkan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya sebelum lebih banyak insan tidak bersalah menjadi korban dalam konflik itu.

"Apakah harapan yang masih tinggal bagi kanak-kanak ini dan golongan mereka jika orang dewasa tidak menunaikan tanggungjawab masing-masing melindungi mereka. Apakah perangai yang akan diwarisi kanak-kanak ini apabila mereka dewasa kelak?" katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di New York dan dihantar kepada Bernama di sini, Khamis.

Beliau berkata konflik terbaru di Gaza menyebabkan sekurang-kurangnya 245 kanak-kanak terbunuh.

Di samping itu, petugas kesihatan yang berusaha menyelamatkan nyawa, hanya berbekalkan sedikit air, tenaga elektrik dan ubat-ubatan yang amat sedikit, katanya.

Sementara itu, sebagai respons kepada konflik yang sedang melanda Gaza, UNICEF Malaysia melancarkan "Gaza Children's Appeal".

Mereka yang ingin menghulurkan derma dalam Ringgit Malaysia kepada tabung rayuan itu boleh melayari laman sesawang www.helpunicef.my untuk menyalurkan bantuan melalui kad kredit.

Mereka juga boleh menderma dengan mengeluarkan cek berpalang atau membuat pemindahan wang melalui bank untuk dibayar atas nama UNITED NATIONS CHILDREN'S FUND-EMERGENCY.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 03-20925812 atau 03-20959154.


Tags / Kata Kunci: Unicef
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan