MH17: Kerajaan Akan Urus Mayat Tanpa Waris

Diterbitkan: Khamis, 31 Julai 2014 8:21 AM

Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (Smart) memindahkan mayat-mayat mangsa MH17 untuk tugasan forensik pada 24 Julai lalu.

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Urusan pengkebumian mangsa nahas penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang tidak mempunyai waris terdekat akan diuruskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata mayat mangsa nahas itu akan diuruskan mengikut adat dan agama masing-masing.

Mayat mangsa MH17 juga akan diberi penghormatan tertinggi apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang, katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata urusan membawa pulang 43 mayat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa nahas penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine mungkin mengambil masa.

Katanya, mayat-mayat terbabit hanya akan dibawa pulang selepas segala urusan mengenal pasti identiti mayat dan forensik selesai dilakukan oleh pihak berkuasa di Amsterdam, Belanda.

Rohani berkata:"Oleh sebab itu saya memohon maaf kepada semua waris mangsa sebab saya sendiri tidak pasti bila semua mayat terbabit dapat dibawa balik ke Malaysia."

Sehubungan itu, beliau meminta keluarga mangsa bersabar kerana cara bekerja mereka di Amsterdam sangat berbeza.

"Mereka bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang disebabkan kesatuan sekerja di negara berkenaan sangat prihatin dengan cara bekerja," kata Rohani.

Katanya, walaupun Malaysia menghantar pasukan forensiknya sendiri seramai 30 orang tetapi mereka terpaksa mematuhi cara bekerja di Belanda.

"Oleh sebab itu, ia berkemungkinan mengambil masa yang panjang daripada yang kita harapkan. Tapi yang penting kita akan dapat membawa mayat balik," katanya.

Tags / Kata Kunci: MAS , MH17

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan