Tugas Saya Ambil Alih MB Selangor - Wan Azizah

Diterbitkan: Rabu, 30 Julai 2014 4:25 PM

Dr Wan Azizah Wan Ismail.

(Ubah saiz teks)

PERMATANG PAUH: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia merupakan tugas dan tanggungjawabnya untuk mengambil alih peranan sebagai Menteri Besar Selangor apabila parti sudah pun membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Semua jawatan yang saya pegang adalah satu tanggungjawab.

"Malah tanpa jawatan pun, ia merupakan khidmat kepada rakyat," katanya pada majlis keagamaan di masjid Permatang Nibong di sini, Rabu.

Mengenai dakwaan sebagai MB bahawa beliau sekadar "boneka" kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah berkata: "Beliau berada di penjara ketika saya dilantik sebagai presiden (parti).

"Mereka boleh mengkritik apa sahaja yang mereka mahu, tetapi kita mempunyai satu pasukan dan kerja sepasukan yang kita tekankan di sini," katanya.

Majlis Pimpinan Pusat PKR pada minggu lalu mencadangkan Dr Wan Azizah untuk memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Pada Rabu lalu, keputusan parti untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipersetujui secara dasar oleh rakan sekutu Pakatan Rakyat, DAP dan PAS.

Bagaimanapun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lalu mempertahankan Khalid dengan menyatakan bahawa beliau mahu Menteri Besar Selangor itu dikekalkan.

Mengulas kenyataan Abdul Hadi itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, kenyataan Presiden PAS itu adalah pandangan peribadi dan bukannya pendirian rasmi parti.

Mursyidul Am PAS, Datuk Niz Abdul Aziz Nik Mat turut menyokong pandangan Abdul Hadi dengan menyatakan bahawa Khalid tidak melakukan sebarang kesalahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan