Mencari Kehidupan Di Darul Wardah

Diterbitkan: Selasa, 29 Julai 2014 1:30 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Dikenali sebagai Rumah Darul Wardah, fungsinya untuk membantu pelajar cemerlang yang terbabit dengan gejala sosial membaiki kesilapan dan kembali ke pangkal jalan.

Di sini juga, pelajar cemerlang yang mencatat keputusan 8A pernah menjadi penghuni.

Itulah keadaannya seperti didedahkan Pengasas Rumah Perlindungan Darul Wardah, Hazlina Abd Razak sejak ia dibuka pada 2010.

Katanya, punca utama pelajar cemerlang ini terlibat dengan gejala sosial kerana kurangnya akidah terhadap Yang Maha Esa.

"Boleh saya katakan, hampir 90 peratus remaja yang dimasukkan ke sini adalah penuntut pusat pengajian tinggi.

"Berdasarkan temubual kami, mereka terlibat  atas dasar suka sama suka, ketagih seks, mangsa pertaruhan judi si ayah dan terjerat dengan cinta palsu lelaki mata keranjang," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Menjelaskan lanjut, peraturan rumah perlindungan itu tetap menjadi garis panduan apabila ia hanya menerima mangsa yang mengandung di bawah usia tiga bulan dan mereka hanya tinggal di rumah tersebut selama lapan bulan sahaja.

"Kita hanya terima mangsa yang datang dengan waris dan sukarela. Mereka juga perlu menandatangani surat aku janji bagi mengelakkan mangsa melarikan diri ketika berada di sini.

"Bagi yang berkemampunan, yuran RM400 dikenakan.

"Di sini mereka akan diwajibkan mengikuti aktiviti memasak, menjahit baju, membuat kuih, kelas mengaji al-Quran, takzirah dan lain-lain," katanya.




Mengenai bayi yang dilahirkan, katanya, bayi tidak berdosa itu akan bawa ke pejabat Pesuruhjaya Sumpah bagi memastikan tiada urusan pemerdagangan manusia berlaku.

"Setiap penghuni di rumah ini akan di bawa ke hospital untuk bersalin dan urusan jabatan pendaftaran juga kita uruskan.

"Selepas anak dilahirkan, terpulang kepada si ibu sama ada ingin beri kepada keluarga angkat tanpa bayaran pendahuluan dibuat, sebaliknya semua urusan akan dilakukan di pejabat pesuruhjaya sumpah bagi mengelakkan urusan pemerdagangan manusia," katanya yang turut mengambil kes mualaf yang tidak mempunyai tempat tinggal.

Bantuan kepada golongan mualaf ini, kata Hazlina bukan sahaja tempat tinggal, malahan pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka.

"Kita tak nak golongan mualaf ini kembali kepada agama asal, sebab ada yang mempunyai anak kecil, kita bimbang akidah mereka akan terpesong.

"Mereka juga diwajibkan mengikuti kelas agama setiap minggu," katanya yang mendapat peruntukkan tahunan daripada Majlis Agama Islam Selangor.




Sementara itu, seorang penghuni yang mahu dikenali dengan panggilan Su berkata, dia menyesal kerana terjebak dengan cinta terlarang ketika menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Lembah Klang.

"Saya memang menyesal dan mengaku agak sosial dahulu, malahan tekanan ketika belajar menyebabkan saya terjerat dengan kancah yang tidak bermoral seperti itu.

"Teman lelaki pun tidak mahu bertanggungjawab. Ibarat habis madu sepah dibuang," katanya sambil mengesat air mata mengenangkan kenangan hitam dalam hidupnya itu.

Ditanya apa yang ingin dilakukan selepas dia melahirkan anak, Su berkata, dia akan menyerahkan anak tersebut kepada kedua ibu bapanya dan akan kembali menyambung pengajiannya yang tertangguh.

"Nasihat saya kalau hendak buat sesuatu itu fikirlah maruah keluarga. Hanya mereka yang sudi terima saya selepas peristiwa malang itu berlaku," katanya yang sarat mengandung enam bulan.

Berusia 19 tahun, Siti pula terjebak dalam aktiviti seks bebas selepas mendakwa dirinya terkena sihir daripada teman lelakinya.

"Saya akui dahulu agak jahil ilmu agama dan kejadian yang menimpa diri saya benar-benar meragut kebahagian," kata penuntut institusi pengajian tinggi swasta yang mahu menyambung pengajian yang tertangguh.

Kini, rutinnya lebih menjurus kepada amalan positif terutama untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Dia mengakui dirinya akan kuat untuk menghadapi persepsi masyarakat yang sudah pasti akan mendiskriminasikan golongan sepertinya.

"Apa yang penting semuanya bermula dengan niat. Persepsi masyarakat dan mulut manusia tidak boleh tutup.

"Saya berazam untuk berubah ke arah kebaikan. Itu janji saya pada ibu dan ayah," katanya yang akan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga pada tahun ini.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan