Kawal Pengambilan Gula Ketika Musim Perayaan Supaya Gigi Kekal Sihat

Diterbitkan: Isnin, 28 Julai 2014 1:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu mengawal pemakanan ketika sambutan hari Raya Aidilfitri ini dengan tidak mengambil kadar gula berlebihan bagi mengekalkan gigi yang cantik, bersih dan sihat.

Pengarah sebuah klinik pergigian di sini, Dr Zeefitri Saniah Bidin berkata, ini kerana gula merupakan antara faktor utama yang mengakibatkan berlakunya masalah karies gigi atau gigi berlubang selain bakteria dan masa.

"Ketika musim perayaan, hampir setiap hari orang ramai dihidangkan dengan juadah yang mengandungi kariogenik iaitu makanan dan minuman yang manis serta kandungan gula yang tinggi.

"Pengambilan gula secara kerap membantu kepada pembentukan asid oleh bakteria dalam plak gigi yang boleh mengancam gigi dan menyebabkan gigi menjadi semakin reput," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Katanya, di Malaysia penyelidikan mendapati 70 peratus daripada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah mengalami karies gigi manakala sembilan daripada 10 orang dewasa turut mengalami gejala itu.

Menurut Zeefitri, untuk memiliki gigi yang kekal sihat serta bebas daripada kaviti atau karies gigi, orang ramai disaran agar memilih makanan yang mesra gigi dan seimbang ketika menyambut lebaran seperti di dalam piramid makanan.

Beliau berkata, orang ramai seharusnya melebihkan pengambilan buah-buahan segar kerana ia kaya dengan vitamin C yang amat diperlukan badan terutamanya kesihatan gigi.

Katanya, pengambilan makanan snek di antara waktu makan perlu dielakkan kerana nilai pH dalam plak akan menurun di antara tiga hingga tujuh minit dan hanya akan meningkat semula pada zon yang selamat untuk gigi pada 40 minit kemudian.

"Ini bermakna, jika makanan snek yang manis diambil setiap waktu, ia akan menyebabkan kemusnahan mikro kepada gigi yang dipanggil demineralisasi (penyingkiran mineral) iaitu penyebab utama terjadinya gigi sensitif seterusnya mengakibatkan gigi mudah tertanggal sebelum waktunya," katanya.

Umumnya, seorang dewasa mempunyai 32 batang gigi. Gigi-gigi tersebut, termasuklah dua gigi kapak, satu gigi taring, dua geraham kecil dan tiga geraham besar dengan geraham bongsu. Gigi yang tidak akan berganti dinamakan sebagai gigi kekal kerana ia tidak akan tumbuh lagi selepas itu sampai bila-bila.

Zeefitri yang berkelulusan Doktor Pembedahan Pergigian (DDS) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata untuk kesihatan gigi, gusi dan mulut ke paras optimum, kebersihan gigi perlu diberi perhatian sepanjang masa walaupun pada musim perayaan.

Katanya, pemberusan gigi yang efektif perlu dilakukan secara berterusan dan sistematik kerana ia bertujuan mengeluarkan bakteria atau plak gigi dan lebihan makanan yang melekat pada permukaan gigi.

"Secara ideal, anda perlu memberus gigi sebaik sahaja selepas makan. Bagaimanapun, anda disyorkan memberus gigi sebanyak dua kali sehari," katanya.

Beliau berkata, pemberusan gigi sebelum tidur juga perlu diamalkan kerana pengabaian tersebut menyebabkan bakteria menukarkan sisa makanan yang tertinggal di dalam mulut kepada asid dan kemudiannya akan menghakis gigi ketika seseorang sedang tidur.

Bagi membersihkan kawasan gigi yang sukar dicapai bulu berus iaitu di celah antara dua gigi dan permukaan belakang gigi, beliau menyarankan agar menggunakan benang gigi 'floss'.

"Pencegahan karies gigi juga boleh dibuat dengan memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida. Fluorida terbukti mampu menguatkan struktur enamel gigi (lapisan paling luar gigi) supaya mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap serangan karies gigi.

"Sekiranya langkah ini diamalkan, anda telah mencipta seribu juta kegembiraan dan senyuman seperti lagu 'One Thousand Million Smiles' dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad," katanya.


Tags / Kata Kunci: Aidilfitri , gula , gigi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan