MH17: Malaysia Mahu Proses Bedah Siasat Mangsa Dipercepat

Diterbitkan: Isnin, 28 Julai 2014 2:50 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia akan berbincang dengan Belanda bagi mempercepatkan proses mengecam dan bedah siasat mayat mangsa nahas MH17, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau yang akan mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Belanda pada Rabu ini berkata, langkah itu bagi memastikan jenazah rakyat Malaysia dapat dibawa pulang secepat mungkin.

Malaysia bersedia menawarkan pegawai forensik dan bantuan lain bagi tujuan itu, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

"Kita juga akan memantau proses yang sedang dijalankan untuk memastikan segala pemeriksaan dan penghantaran mayat selesai secara cepat dan dapat dibawa ke negara ini seberapa segera," katanya yang ditemui semasa mengadakan lawatan di Hospital Putrajaya sempena Aidilfitri di sini.

Pada masa sama, Dr Subramaniam berkata proses bedah siasat mengambil masa agar semua bukti dapat dikumpul bagi membawa pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi itu ke muka pengadilan.

"Oleh itu segala proses mesti menerusi kaedah yang betul tanpa jalan singkat," katanya.

Dalam kejadian 17 Julai lalu, pesawat Malaysia Airlines, Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine dipercayai akibat ditembak.

Nahas itu mengorbankan kesemua 283 penumpang dari pelbagai negara dan 15 anak kapal. 


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan