Isu MB: Khalid Beri Bayangan Bubar DUN

Diterbitkan: Ahad, 27 Julai 2014 2:30 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING: Peralihan kuasa di Selangor dilihat bakal berdepan situasi sukar apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membayangkan bahawa kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor perlu ditentukan oleh rakyat menerusi proses pilihan raya.


Menyedari ditolak partinya, beliau menegaskan, perubahan jawatan Menteri Besar negeri itu seperti yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat di negeri itu.

Bagaimanapun, Abdul Khalid tidak menyebut mengenai kemungkinan beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri (DUN) diadakan sebagai salah satu cara mempertahankan kedudukannya.

"Dalam bidang politik pentadbiran, pemimpin sentiasa bersilih ganti manakala kerajaan yang memerintah kerap bertukar corak dan gaya.

"Bagaimanapun, peralihan pemimpin dan kerajaan terbukti lebih lancar dan menguntungkan rakyat serta negara sekiranya ditentukan oleh majoriti rakyat melalui pilihan raya umum," katanya melalui perutusan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2014 pada Ahad.

Sebelum ini banyak pihak meramalkan bahawa Abdul Khalid berkemungkinan mengambil langkah untuk membubarkan DUN jika beliau dipaksa melepaskan jawatan.

Baru-baru ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan isterinya sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon bagi menggantikan Abdul Khalid.

Pencalonan Dr Wan Azizah dibuat dengan alasan ia bakal menyelesaikan banyak perkara khususnya di Selangor.

Mengulas lanjut Abdul Khalid mengingatkan semua pihak supaya menghormati institusi diraja sebagai pemerintah negeri.

"Sebagai peneraju kerajaan negeri yang terkaya dan termaju, saya wajar mengingatkan diri saya dan rakyat supaya kita menghormati institusi raja berperlembagaan sebagai pemerintah negeri ini dan terhadap barisan pemimpin yang menerajui kerajaan negeri sekarang," katanya.


Tags / Kata Kunci: Abdul Khalid Ibrahim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan