Ambil Iktibar Tragedi Melanda Negara - Najib

Diterbitkan: Ahad, 27 Julai 2014 9:39 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam di Malaysia mengambil iktibar daripada beberapa tragedi yang melanda Malaysia mutakhir ini, termasuk nasib malang yang menimpa rakyat Palestin.

Najib berkata, semua ujian dan rintangan yang kebetulan berlaku dalam bulan Ramadan itu memberi pengajaran berguna tentang keperluan membina kekuatan dan ketahanan umat Islam negara ini dalam menempuh pelbagai cabaran.

Malah, katanya, ia juga penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh yang progresif dan berdaya maju.

Perdana Menteri ketika menyampaikan Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2014 malam Ahad mengingatkan umat Islam akan kepentingan kesatuan dan sentiasa berpadu dengan mengukuhkan ukhuwah Islamiah yakni persaudaraan yang tulen antara sesama Islam.

"Dengan itu, barulah umat Islam akan disegani, tidak dilihat lemah atau mudah diperkotak-katikkan oleh mereka yang lain," katanya.

Ucapan Perdana Menteri itu disiarkan secara langsung di televisyen tempatan. 

Najib turut melahirkan rasa syukur kerana usul mengenai tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas, diluluskan sebulat suara oleh semua wakil rakyat, termasuk pembangkang pada persidangan khas Dewan Rakyat Rabu lepas.

"Keputusan ini merupakan satu permulaan yang baik, untuk kita sebagai umat dan rakyat Malaysia, bertaut hati, dengan mengukuhkan solidariti sebagai satu negara, 1Malaysia," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri juga menyeru umat Islam mengambil iktibar akan ikhtiar yang telah diambil dalam mempertegak dan mempertinggikan syiar agama, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Beliau menarik perhatian bahawa di Malaysia, amalan Islam dipraktikkan dalam kerangka Maqasid Syariah melalui pendekatan wasatiyyah yang sekali gus menolak fahaman ekstremisme dan liberalisme yang tidak selari dengan ajaran Islam.

Beliau mengambil contoh penubuhan Lembaga Tabung Haji, institusi kewangan dan perbankan Islam, selain institusi dan lembaga zakat di negeri-negeri sebagai antara langkah Malaysia menuruti syariat Islam.

Najib dalam pada itu menekankan kepentingan membangunkan ilmu, kemahiran teknologi dan inovasi serta nilai insaniah demi kemaslahatan umat Islam di negara ini.

"Kita dapat saksikan kesungguhan Kerajaan melakukan pengislahan demi pengislahan dalam aspek meningkatkan pendidikan dan modal insan rakyat, supaya mampu bersaing dan setanding dengan negara-negara maju yang lain. 

"Antara nilai-nilai kejayaan tersebut seperti itqan yakni tekun, taa’wun iaitu budaya tolong menolong, berhikmah atau bijaksana dan amalan istiqamah serta taqwa. Kesemua nilai ini sangat mustahak, dalam usaha kita mencapai status negara maju menjelang tahun 2020," katanya.

Justeru, beliau turut menyarankan agar semua umat Islam di negara ini sentiasa bertransformasi, bersiap siaga, melihat jauh ke hadapan dan membina harapan demi kemakmuran bersama.

Sementara itu, perdana menteri sekali lagi merakamkan takziah dan belasungkawa serta kesedihan yang amat mendalam kepada semua mangsa korban tragedi MH17 termasuk anggota keluarga mereka. 

"Sudah tentu, saya amat merasai serta tidak sanggup membayangkan, betapa luluhnya hati mereka, apabila bangun di pagi hari raya, tanpa orang yang tersayang.

"Lantaran itu, banyakkanlah bersabar dan reda dengan ketentuan Ilahi. Pastinya, banyak hikmah yang boleh dipelajari daripada peristiwa tragik ini," katanya.

Bagi pihak kerajaan Malaysia, Najib juga merakamkan penghargaan atas sokongan para pemimpin dan masyarakat dunia yang bersimpati serta menghulur bantuan kepada Malaysia dalam menghadapi insiden malang pesawat MH370 dan MH17.

Selain itu, perdana menteri berkata, beliau juga tidak sesekali melupakan segala jasa dan anggota pasukan keselamatan sama ada yang masih bertugas di perbatasan, mahupun yang telah meninggal dunia. 

"Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa merahmati mereka dan ahli keluarga serta memelihara negara ini agar aman dan sentosa sampai bila-bila," katanya.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menghentikan segala sengketa dan menggalakkan amalan ziarah-menziarahi.

Sebelum mengakhiri perutusannya, Najib mengambil kesempatan memohon ampun bagi pihak diri, isteri dan seisi keluarga atas segala kesalahan dan apa jua kekhilafan, selain mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia supaya dapat menyambut lebaran dengan penuh gembira bersama orang-orang tersayang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan