MH17: Ujian Forensik Untuk Kumpul Bukti - Subramaniam - Berita Semasa | mStar

MH17: Ujian Forensik Untuk Kumpul Bukti - Subramaniam

Diterbitkan: Jumaat, 25 Julai 2014 8:46 PM

S. Subramaniam.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja forensik ke atas mangsa tragedi penerbangan MH17 Malaysia Airlines dilakukan bukan sahaja untuk tujuan pengecaman identiti tetapi juga untuk mengumpul bukti bagi mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tugas itu yang diketuai pasukan penyiasat Belanda adalah lebih rumit dan memakan masa berminggu-minggu.

"Kalau cuma untuk pengecaman mayat proses lebih senang. Tapi untuk kes ini dibawa ke mahkamah kita perlu sediakan bukti yang kukuh," katanya kepada media selepas melancarkan program Sindhi Sammelan Antarabangsa ke-21, di sini Jumaat.

Beliau berkata antara bukti yang boleh digunakan untuk tujuan pendakwaan adalah serpihan logam yang mungkin ditemui di dalam mayat mangsa. 

Kata Subramaniam, proses mengumpul data daripada 45 anggota keluarga mangsa yang berada di negara ini untuk membentuk profil DNA telah selesai dan dihantar ke Belanda untuk proses 'penjodohan' DNA antara waris dan mangsa. 

Pesawat MH17 Boeing 777-200 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, timur Ukraine Khamis lepas.

Ia membawa 298 penumpang serta anak kapal dan dipercayai ditembak jatuh.

Tags / Kata Kunci: MH17 , forensik , Subramaniam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan