Krisis MB Selangor: Rundingan Sulit Anwar - Kem Khalid Giat Dijalankan

Diterbitkan: Jumaat, 25 Julai 2014 6:40 PM

Abdul Khalid Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Rundingan sulit diantara pegawai-pegawai mewakili Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dijalankan untuk menentukan masa depan kepimpinan negeri itu.

Setiausaha Politik Khalid, Azman Abidin yang bertindak sebagai perantara, memberitahu The Star Online bahawa Khalid tidak perlu melepaskan kedudukannya jika dia memenuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan pucuk pimpinan PKR.

"Kami masih dalam proses rundingan. Terdapat beberapa syarat yang Anwar mahu Khalid penuhi. Jika beliau bersetuju, Khalid mungkin kekal sehingga penggalnya tamat," katanya ketika dihubungi.

Namun, Azman enggan mendedahkan secara terperinci syarat-syarat tersebut kerana ia 'sulit dan persendirian' tetapi menegaskan ia tiada kaitan dengan projek di negeri itu.

Beliau juga mengakui terdapat beberapa syarat yang sukar dipenuhi oleh Khalid.

"Ia rundingan yang sukar tetapi ia bergantung kepada Khalid untuk bersetuju atau tidak," katanya.

Difahamkan, antara syarat-syarat itu termasuk penyingkiran bekas setiausaha politik Khalid, Faekah Husin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI).

Azman berkata, sekiranya rundingan itu tidak berjaya, Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang tidak pilihan melainkan berundur dan memberi laluan kepada peralihan kuasa.

Terdahulu, Anwar mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menerima cadangan PKR untuk menggantikan Khalid dengan calon pilihan mereka iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Adun Kajang.

Bagaimanapun, menurut Azman, keputusan belum muktamad walaupun hampir pasti akan berlaku perubahan pucuk pimpinan di negeri itu.

"Khalid mempunyai tempoh sehingga 10 atau 11 Ogos untuk membuat keputusan kerana ia adalah tarikh akhir DAP dan PAS mengumumkan pendirian mereka," katanya.

Azman juga berkata, beliau yakin Khalid tidak akan menasihati Istana untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun beliau sebagai Menteri Besar mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

"Beliau tidak akan melakukan perkara seperti itu, beliau enggan menamatkan karier politiknya dengan memusnahkan parti. Beliau mahu penyelesaian secara baik terhadap krisis ini," katanya.

Khalid kini terus menerima tekanan dari dalam parti yang mahu beliau melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.

DAP dan PAS pada dasarkanya bersetuju supaya Khalid memberi laluan kepada Dr Wan Azizah untuk mengambil alih jawatannya.

Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Khalid dan mahu beliau mengekalkan jawatannya.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan