Kisah Ibrahim Diraikan Sahabat Berbeza Agama Di Majlis Iftar

Diterbitkan: Jumaat, 25 Julai 2014 1:30 AM

Ibrahim (kiri) bersama sahabatnya, Jiwanathan.

(Ubah saiz teks)

JANGAN ada yang cemburu melihat kemesraan dan keakraban dua sahabat ini!

Berbeza agama, berlainan bangsa dan tidak sama kepercayaan, namun Ibrahim Kather Shah, 50, dan Jiwanathan a/l Narayanasamy, 47, tetap bersatu di atas nama persahabatan.

Hubungan persahabatan mereka mungkin kelihatan sama sahaja dengan jalinan persahabatan orang lain, namun tidak ramai yang sanggup melakukan apa yang Jiwanathan lakukan terhadap Ibrahim.

Setiap kali tibanya Ramadan, Jiwanathan akan meraikan Ibrahim sekeluarga dengan menganjurkan majlis berbuka puasa untuk mereka.


Kalendar Persahabatan

Ramadan kali ini, sudah lima kali Ibrahim diraikan rakan karibnya itu yang kebetulan mempunyai restoran di Puchong.

"Dia akan menutup sebahagian kedainya untuk saya dan keluarga apabila ajak kami berbuka.


"Tahun pertama dia jemput saya sekeluarga sahaja, tetapi masuk tahun kedua hinggalah tahun ini seluruh keluarga besar saya dan rakan kami yang lain juga dijemputnya," katanya ketika ditemui di restoran milik rakan baiknya itu baru-baru ini.


Suasana ketika majlis berbuka puasa yang diadakan oleh Jeevanathan, khas untuk keluarga sahabatnya dan rakan-rakan mereka yang berbilang bangsa.

Ibrahim yang sudah enam  tahun mengenali Jiwanathan berkata, dia dapat merasai bagaimana rakannya itu ikhlas menganjurkan majlis berbuka puasa yang telah menjadi sebahagian daripada aktiviti dalam kalendar persahabatan mereka.

"Dia langsung tidak benarkan saya beli atau bawa apa-apa buah tangan. Dia tak benarkan saya keluarkan walau satu sen pun.

"Melihat caranya menghormati saya serta rakan-rakan beragama Islam yang lain, saya terfikir kenapa perlu timbul isu-isu perbezaan agama di negara ini," katanya.

Ibrahim berpendapat, isu seperti kalimah Allah dan sebagainya tidak patut menjadi punca atau alasan untuk berlaku perbalahan dan mencetuskan ketidakharmonian kaum di negara ini.



Dia menjelaskan, mereka berdua pernah duduk membincangkan tentang beberapa percanggahan pendapat dalam isu agama tetapi mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan itu lagi.

"Kami pernah bincang, tapi setelah beberapa ketika kami masing-masing tidak mahu berfikir tentang isu-isu agama yang timbul.

"Kesepakatan itu membuatkan kami bertambah erat. Kami percaya jika mahu mewujudkan hubungan baik di antara kaum, setiap orang perlu berfikir realistik," katanya sambil menambah persefahaman dan sikap hormat-menghormati agama dan bangsa lain amat penting terutama dalam masyarakat 1Malaysia.

Hormat Rakan, Ramadan

Nasi briyani yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga, dalca, varuval ayam, daging dan kuih-muih menjadi antara menu wajib yang disediakan Jiwanathan dalam majlis berbuka puasa yang dianjurkannya.

Ibrahim berkata, Jiwanathan telah 40 tahun membuka restoran yang menjual pelbagai jenis masakan dan masakan India menjadi kepakarannya.

"Tetapi bukanlah makanan yang menjadi persoalan atau keutamaan.

"Yang paling utama ialah bagaimana seorang sahabat yang beragama Kristian mampu menghormati Ramadan dan rakan-rakan yang menyambutnya," katanya.

Ibrahim berkata, setiap kali majlis berbuka puasa diadakan, majlis akan dimulakan dengan bacaan doa berbuka dan doa makan.

Kemudian, tetamu yang dijemput akan mengambil makanan yang dihidangkan secara bufet, didahului dengan tetamu yang beragama Islam.

"Pada waktu inilah kami berbual-bual. Walaupun majlis dan aktiviti seperti ini nampak ringkas, namun sebenarnya ia mampu mengeratkan silaturrahim sesama jemputan," katanya.

Agama Bukan Halangan

Bagi Jiwananthan, dia menganggap Ibrahim dan keluarga seperti keluarga saya sendiri.

Jelasnya, apa yang dilakukannya adalah ikhlas dan dia gembira kerana dapat meraikan sahabatnya setiap kali Ramadan.

Beliau menambah, Ibrahim juga amat menghormati agamanya dan meraikan Deepavali bersama dia sekeluarga.

"Kita tidak tengok semua itu (perbezaan bangsa, agama). Ia tidak ada kena-mengena dalam persahabatan kami.

"Saya berkawan dengan Ibrahim, dan kami berkawan baik dengan rakan-rakan lain yang berbeza bangsa," katanya.



Tags / Kata Kunci: Jeevanathan , Ibrahim Kather Shah

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan