Masyarakat Akui Terkesan Dengan Tragedi MH17, Aidilfitri Disambut Sederhana

Diterbitkan: Jumaat, 25 Julai 2014 1:30 AM

Kanak-kanak lelaki meletakkan jambangan bunga di kem tentera Korporaal van Oudheusdenkazerne, Hilversum, Belanda di mana mayat mangsa tragedi MH17 akan dikenal pasti.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 yang terhempas di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lalu, meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada rakyat negara ini, termasuk umat Islam yang bakal menyambut Aidilfitri tiga hari lagi.

Beberapa individu yang ditemui Bernama mengakui terkesan dengan tragedi itu dan keterujaan mereka untuk menyambut 1 Syawal kali ini juga agak berkurangan.

"Sebagai wartawan, saya juga terkejut ketika menerima perkhabaran mengenai tragedi itu...saya bekerja lebih 24 jam pada hari kejadian...berasa amat pilu," kata wartawan penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Nor Liyana Zulkifli, 27.

Wartawan Berita Harian Nor Fazlina Abdul Rahim, 28, pula berkata, walaupun tidak terlibat secara langsung dengan liputan tragedi itu kerana kini bertugas di Kelantan, sebagai wartawan yang pernah membuat liputan tragedi, beliau berasa sedih dan kurang gembira untuk menyambut Aidilfitri.

"Kami petugas media (walau) di mana sahaja berkongsi rasa yang sama dan berdoa urusan penghantaran balik jenazah berjalan lancar," katanya.

Perasaan sama turut dikongsi pelakon Emylia Rosnaida Abdul Hamid, 37, yang berkata, beliau sangat terkesan dengan tragedi itu apatah lagi beliau pernah bertugas sebagai pramugari MAS selama lima tahun dari 1990 hingga 1995.

"Walaupun mangsa tiada kaitan kekeluargaan dengan saya, perasaan hiba amat saya rasai dan sebagai tanda menghormati, saya dan keluarga menyambut Aidilfitri secara sederhana tahun ini," katanya.



Emylia juga berdoa semua keluarga mangsa diberi ketabahan dan kekuatan.

Seorang jurugambar bebas dari Kota Kinabalu, Nazri Muhammad, 28, pula menyifatkan Aidilfitri kali ini begitu menyedihkan.

"Ketika umat Islam sedang mengira waktu meraikan hari penuh gembira, ramai keluarga di luar sana sedang meratapi pemergian insan tersayang...pastinya hati saya juga hiba setiap kali melihat keadaan mereka di kaca televisyen... Aidilfitri dirasakan agak hambar kali ini," katanya.

Pesara kerajaan dari Johor, Mohd Jaafar, 56, berkata, sebagai seorang bapa, beliau memahami perasaan kehilangan orang tersayang.

"Pakcik sedih tengok kapal terbang yang pecah, tengok jenazah. Pakcik hanya mampu berdoa dan berharap kesemua mangsa dapat dibawa balik dan disempurnakan segera sebelum Aidilfitri," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 MAS yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dilapor terhempas Khamis lalu.

Pesawat itu yang membawa 298 orang iaitu 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh tetapi sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.


Tags / Kata Kunci: Aidilfitri , MH17

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan