MH17: Tiada Wang Tebusan Dibayar Dalam Rundingan Dengan Kumpulan Pemisah

Diterbitkan: Rabu, 23 Julai 2014 9:21 PM

Lt Kol Mohd Sukri Hussain (hadapan, dua, kanan) bersalaman dengan Alexander Borodai (kiri) selepas menerima dua kotak hitam milik MH17 di Donetsk pada Selasa. Foto KAMARUL ARIFFIN / THE STAR

(Ubah saiz teks)

KIEV: Tiada wang tebusan atau sebarang bayaran lain dibayar sepanjang rundingan tiga hari antara pasukan penyiasatan khas Malaysia dengan kumpulan pemisah, Republik Rakyat Donetsk, bagi mengambil mayat mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dan dua kotak hitam yang mengandungi alat-alat perakam data dan suara pesawat berkenaan.

Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Lt Kol Mohd Sukri Hussain, yang juga pemerintah pasukan perunding Malaysia, berkata dalam rundingan itu, ketua kumpulan pemisah Alexander Borodai tidak meminta apa-apa sebagai balasan dan hanya meminta Malaysia menjalankan siasatan.

"Beliau hanya mahu Malaysia mencari jawapan tentang apa sebenarnya yang berlaku terhadap pesawat itu," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, kerajaan Ukraine juga memberi bantuan kepada pasukan perunding Malaysia untuk memastikan mereka dapat berjumpa dengan ketua kumpulan pemisah itu.

Pesawat MAS itu, yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada Khamis malam.


Tags / Kata Kunci: MAS , MH17 , Penerbangan Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan