Khalid Dinasihat Mohon Maaf Secara Terbuka

Diterbitkan: Selasa, 22 Julai 2014 12:23 PM

Khalid Samad
(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Akibat terlalu lantang mengkritik Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dinasihat supaya mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat di negeri ini.


Nasihat berkenaan disampaikan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang berharap supaya Khalid berani berhadapan dengan rakyat berhubung tindakannya yang menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kalau beliau nak minta maaf pun, mintalah maaf secara terbuka kepada umum kerana bukan tuanku sahaja yang tersinggung," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

Selain itu, Mohamad Munir berkata, sehingga kini Sultan Sharafuddin masih belum memberi perkenan terhadap permohonan Khalid untuk menghadap baginda bagi memberi penjelasan mengenai kenyataannya tentang Mais.

"Sultan belum beritahu sama ada tolak atau terima permohonan beliau untuk menghadap.

"Pada masa ini tuanku tengah sibuk," katanya.

Mengulas mengenai kandungan sebenar surat permohonan Khalid, Mohamad Munir berkata, ia hanya menyatakan hasratnya untuk menjelaskan kepada Sultan Selangor mengenai maksud kenyataannya.

"Komen saya...mengapa nak bagi penjelasan lagi kerana semua (pihak) sudah tahu dan jelas.

"Kalau nak bagi penjelasan juga, bagilah kepada umum kerana beliau sebelum ini buat kenyataan terbuka," katanya.

Sebelum ini Sultan Sharafuddin melahirkan kemurkaan baginda terhadap Khalid Samad yang mendesak supaya Mais tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu.

Menyifatkan wakil rakyat PAS itu bersifat biadap, baginda bertitah supaya Khalid yang bukan berasal dari Selangor supaya memahami sejarah negeri dan mendalami undang-undang yang terpakai di Negeri Selangor terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

Tags / Kata Kunci: Khalid Samad , Sultan Selangor , murka

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan