Zhang Jian Derma RM1.2 Juta Kepada Pusat Jagaan Kanak-Kanak - Berita Semasa | mStar

Zhang Jian Derma RM1.2 Juta Kepada Pusat Jagaan Kanak-Kanak

Diterbitkan: Isnin, 21 Julai 2014 10:04 AM

(Ubah saiz teks)

KULIM: Sebuah pertubuhan kebajikan di sini berkata, individu yang mendakwa dirinya sebagai "bakal menjadi lelaki terkaya di dunia", Zhang Jian mendermakan sebanyak RM1.2 juta kepada pertubuhan itu.

Pengasas Pusat Jagaan Kanak-Kanak Batu Grace, Solomon B.G. Rajanthren berkata, wang itu digunakan untuk membeli lima unit rumah yang ketika ini digunakan oleh pusat berkenaan.

"Saya sudah pun menerima RM432,000, yang digunakan untuk membeli dua unit pertama," katanya kepada para pemberita selepas menerima satu replika cek berjumlah RM1.2 juta daripada perunding pemasaran antarabangsa CDTUP International Sdn Bhd, Tony Mathavan di sini, Ahad.

Rajanthren berkata, Zhang, yang sepatutnya berada di Kulim untuk menyampaikan cek tersebut pada Ahad tidak dapat menghadirkan diri kerana beliau mempunyai komitmen lain di Kuala Lumpur.

Pusat jagaan itu mempunyai 110 penghuni, termasuk 89 kanak-kanak dan enam ibu tunggal.

Rajanthren berkata, beliau bertemu dengan Zhang dalam satu perjumpaan yang diadakan oleh penasihat peribadi ahli perniagaan itu, Jessie Lai dan Mathavan di Sri Petaling di Kuala Lumpur kira-kira tiga minggu lalu.

"Saya beritahu beliau mengenai keperluan pusat jagaan, dan beliau menawarkan diri untuk mendermakan sejumlah wang kepada pusat jagaan," katanya.

Mathavan berkata, kontroversi yang melanda Zhang disebabkan oleh Yun Shu Mao (YSLM) yang didakwa menjalankan skim cepat kaya.

“YSLM adalah nama jenama di mana syarikat itu menjalankan dagangan. Bagaimanapun, syarikat berdaftar adalah CDTUP Inter­na­tional,” katanya.

"Inilah sebab kenapa agensi kerajaan menjalankan pemeriksaan, apabila mereka mendapati YSLM beroperasi tanpa lesen," katanya.

Mathavan berkata, syarikat itu kemudiannya memperbetulkan keadaan dan menghentikan penggunaan YSLM dalam syarikat dagangannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan