Pihak Ketiga Runding Laluan Selamat Ke Tapak MH17 Terhempas

Diterbitkan: Ahad, 20 Julai 2014 6:21 PM

(Ubah saiz teks)

KIEV: Malaysia, Ukraine dan enam pihak lain yang berkepentingan kini menggunakan pihak ketiga untuk berunding dengan pemberontak pro-Rusia bagi mendapatkan laluan selamat memasuki kawasan pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas di Ukraine. 

Ketua Pasukan Penyiasat Khas Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar berkata rundingan itu masih berlangsung dan kemungkinan keputusannya positif. 
 
"Mungkin hari ini atau esok kita boleh memasuki kawasan itu," katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada Ahad. 

Khairil Hilmi berkata, pihak ketiga itu mendapat kepercayaan kedua-dua pihak, kerajaan Ukraine dan puak pemberontak, dan ia menggunakan kaedah rundigan dipanggil "shuttle diplomacy" (diplomasi ulang-alik). 

Mengenai enam pihak lagi itu, beliau berkata mereka ialah pasukan antarabangsa dari negara-negara yang rakyat mereka adalah penumpang pesawat malang itu. 

Beliau berkata pasukan antarabangsa ini, serta Malaysia, perlu ke kawasan berkenaan untuk menjalankan Identifikasi Mangsa Nahas (DVI) dan mengumpul mayat.

Khairil Hilmi berkata pasukan antarabangsa baru saja dibentuk berikutan nahas tragik yang mengejutkan dunia. 

Katanya, kerajaan Ukraine telah menurutsertakan pasukan Malaysia dan pihak-pihak berkenaan dalam sebuah jawatankuasa yang dibentuk ekoran tragedi itu. 

Beliau berkata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dijangka tiba di Kiev pada Isnin. 

Pesawat MAS MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bila ia terhempas di Donetsk, bahagian timur Ukraine dekat sempadan Rusia pada malam hari Khamis. 

Pesawat Boeing 777-200 membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Tags / Kata Kunci: MH17 , MAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan