Cadangan Pindah Penduduk Perkampungan Air Akan Dikaji - Hajiji

Diterbitkan: Jumaat, 18 Julai 2014 1:57 PM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah akan mengkaji cadangan memindahkan penduduk perkampungan air di kawasan pantai timur Sabah ke kawasan daratan bagi mengekang aktiviti pencerobohan dan penyeludupan.

Menterinya Datuk Hajiji Mohd Noor berkata, kajian itu akan dilakukan secepat mungkin dengan hasilnya nanti akan dibentangkan kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan.

Katanya, secara prinsipnya, pihaknya bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia dilihat antara cara yang dapat mengawal keselamatan di pantai timur Sabah.

"Cadangan ini mungkin salah satu cara dan kita akan kaji perkara ini supaya pada masa akan datang, mudahan-mudahan, ianya dapat dilaksanakan.

"Kalau mereka dipindah ke darat, senang pasukan keselamatan memantau dan mengawal keadaan itu berbanding di laut, kerana di laut orang masuk kita tidak tahu, penyeludup masuk kita tidak tahu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perkampungan air di negeri ini perlu dipindahkan ke darat bagi mengekang ancaman pencerobohan pengganas dan penyeludup.

Menurut Hajiji kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu kerana ia melibatkan ramai pihak, kewangan dan logistik.

"Ini sebenarnya adalah cadangan yang baik tetapi untuk melaksanakan program ini dan untuk pindahkan perkampungan atas air ini memang akan menggunakan peruntukan yang banyak dan mengambil masa," katanya.

Hajiji berkata urusan membina perumahan rakyat untuk memindahkan mereka ke darat itu juga memerlukan perhatian dan penglibatan kerajaan Persekutuan dari segi kos dan peruntukan.


Tags / Kata Kunci: Hajiji Mohd Noor , pantai timur Sabah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan