Ayam Masak Merah Kegemaran Banduan Berbuka Puasa

Diterbitkan: Jumaat, 18 Julai 2014 2:00 AM

banduan

Murnewaty (kanan) sedang memberi arahan kepada salah seorang banduan yang membuat persiapan juadah berbuka puasa. Foto S.S.KANESAN / THE STAR

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Ayam masak merah merupakan antara hidangan berbuka puasa yang paling digemari banduan di Penjara Kajang di sini sepanjang Ramadan.

Antara lain yang turut digemari penghuni penjara adalah sup tom yam, kata Koperal Penjara, Murnewaty Mohd Kamil yang bertugas mengawal pergerakan dan keselamatan banduan di kawasan penjara terutama ketika mereka bekerja di dalam dewan makanan untuk persiapan makanan untuk banduan lain.

Beliau berkata, semua banduan beragama Islam diwajibkan berpuasa, melainkan mereka uzur di kalangan wanita atau tidak sihat dengan kebenaran doktor.

Mengenai hidangan berbuka puasa, jelasnya, ia menyamai dengan apa yang dihidangkan pada hari biasa, membezakannya cuma mereka diberi buah kurma atau pilihan lain seperti bubur pulut hitam, bubur kacang merah atau bihun.

“Antara hidangan berbuka puasa ialah ayam masak merah, sup ayam atau tom yam, daging masak kicap, begitu juga dengan sotong, sama ada masak merah atau kicap.

“Kalau hari ini kita beri ikan, esok daging, lusanya ayam. Kita akan tukar-tukar setiap hari dan seterusnya secara bergilir-gilir.

“Makanan yang paling disukai mereka ialah ayam terutama ayam masak,” katanya ketika ditemui mStar Online di dapur dewan makan penjara di sini, baru-baru ini.

banduan
Antara banduan yang sedang memasak sayur di dapur di dalam penjara.

Selain makanan utama dan nasi, Murnewaty berkata, banduan turut diberikan hidangan lain seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan air.

“Banduan juga akan diberikan buah-buahan yang kebiasaannya adalah tembikai dan kadang-kala akan ditukarkan dengan belimbing. Bagi air pula, antaranya air sirap, oren dan anggur yang ditukar setiap hari. Air teh dan kopi pun ada,” katanya.

Bagi pilihan sayur-sayuran, banduan akan diberikan kobis, kangkung, sawi dan labu air.

Persiapan hidangan akan disediakan oleh banduan sendiri dari memotong sayur, merencah, memasak, menghantar makanan sehingga ke mencuci bekas makanan.

Menurut Murnewaty, untuk berbuka puasa, banduan akan mula bertugas seawal pukul 8 pagi sehingga pukul 6 petang bagi membuat persiapan.

“Banduan yang bertugas akan mengedarkan set makanan diletakkan di atas tray (dulang) kepada banduan lain di blok-blok sel bermula pukul 5 petang sehingga 6.30 petang, diiringi oleh kakitangan penjara yang mengawal pergerakan mereka.

“Banduan akan berbuka puasa apabila mereka mendengar azan Maghrib yang boleh didengar dari masjid yang terletak di luar penjara,” katanya.

Tambahnya, selepas waktu berbuka puasa, banduan-banduan yang ditugaskan pada sebelah petang akan mengumpulkan semula bekas-bekas makanan untuk dicuci.

banduan

Bagi juadah berbuka puasa, banduan yang bertugas akan mula membuat persiapan seawal pukul 8 pagi.

Bagi hidangan sahur, kata Murnewaty, set makanan adalah sama dengan hidangan berbuka puasa, tetapi terdapat penambahan roti dan mentega yang biasa dihidangkan untuk sarapan pagi pada waktu bukan dalam bulan Ramadan.

Tambahnya, banduan akan memulakan tugas pada pukul 4 petang sehingga pukul 2 pagi, manakala penghantaran makanan ke blok-blok sel akan dilakukan seawal pukul 12.30 tengah malam dan akan mengutipnya pada pukul 2 pagi.

“Tidak semestinya mereka kena makan pukul 2 pagi. Ada yang makan pukul 4 pagi atau 5 pagi. Terpulang kepada mereka,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, banduan boleh bersahur mengikut kesesuaian dan kesukaan mereka dengan menyimpan makanan itu di dalam bekas makanan terdapat di setiap bilik mereka.

“Warden akan sentiasa berada di setiap blok. Mereka (banduan) boleh bertanyakan waktu kepada warden untuk bersahur dan juga waktu imsak,” katanya.

Berkongsi pengalamannya mengenai banduan berbuka puasa, beliau berkata: “Semasa berbuka puasa, ada banduan yang menjerit-jerit suka dan gembira sangat sebab dapat makan. Maklumlah, mereka dapat makanan selepas berpuasa sepanjang hari.”

"Setakat ini, tiada banduan buat permintaan yang macam-macam, selain apa yang kami (pihak penjara) hidangkan tetapi apa yang pasti, mereka lebih suka bila kita berikan mereka ayam masak merah. Itu kegemaran mereka,” katanya. 

Tags / Kata Kunci: Penjara Kajang , banduan , ayam masak merah

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 3:30 PM

Ebba Tak Minat Jadi Jurutera

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan