Petronas Lancar Kempen Hari Raya

Diterbitkan: Khamis, 17 Julai 2014 2:30 AM

Norliza(empat dari kanan) bersama pelakon kanak-kanak, Dania Erisha Mohd Izwan serta kakitangan Petronas lain termasuk CEO Petronas Dagangan, Mohd Ibrahimudin Mohd Yunos di majlis pelancaran Kempen Hari Raya Di KLCC, Khamis.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Petronas melancarkan Kempen Hari Raya sempena menyambut  Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Syarikat minyak nasional ini melancarkan kempen yang akan berlangsung selama sebulan dengan penayangan filem web Hari Raya selama tiga minit yang diterbitkan khas bagi memeriahkan suasana Aidilfitri.

"Filem web ini membawa pesanan tentang nilai murni yang kita pelajari dari ibu bapa kita akan diajarkan kepada anak kita menerusi tradisi keluarga yang diwarisi secara turun-temurun," kata Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Norliza Kamaruddin.

Filem Web bertajuk "Ke Pangkuan Bonda" ini diilhamkan oleh pepatah "Berapa Jauh Seluang Melaut, Akhirnya Balik ke Tepi Pantai Juga", mengisahkan perjalanan sebuah keluarga dalam menyambut Aidilfitri dengan iringan lagu klasik "Suasana Hari Raya" yang telah diberi nafas baru bagi memberi kesan unik.

Filem web ini dapat disaksikan di laman Youtube rasmi PETRONAS melalui (http://www.youtube.com/PETRONASofficial) mulai hari ini, manakala iklan Hari Raya selama 60 saat yang merupakan rangkuman daripada filem web akan disiarkan di seluruh negara bermula Khamis hingga 10 Ogos.

Sebelum majlis pelancaran itu, Petronas menghulurkan bantuan kepada 30 ibu tunggal kurang bernasib baik dari Lembah Kelang dan keluarga mereka menerusi program kemasyarakatannya, "Sentuhan Kasih".

Seramai 70 orang sukarelawan yang merupakan kakitangan Petronas membawa mereka membeli barangan rumah, baju raya serta lain-lain keperluan bagi menyambut Aidilfitri yang mana perbelanjaan ditaja sukarelawan.

Petronas juga akan memulakan Kempen Coffee Break Hari Rayanya pada 25 dan 26 Julai serta 1 dan 2 Ogos dengan tujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat semasa perjalanan pulang ke kampung halaman mereka.

Kempen yang dijalankan selama 15 tahun berturut-turut ini menawarkan pengguna jalan raya kemudahan untuk berehat sebentar sambil menikmati kopi dan makanan ringan yang diberi secara percuma oleh PETRONAS di 39 stesen minyak terpilih di seluruh negara.

Selain itu, mereka juga dapat mengisi minyak kenderaan dengan Petronas Primax95 dengan formula yang diperhebat bagi memberi penjimatan dan kecekapan bahan api yang unggul bagi mempertingkatkan lagi perjalanan balik kampung mereka.

Tags / Kata Kunci: Petronas , Aidilfitri , Kempen Hari Raya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan