Semua Majlis Awam Di Selangor Akan Diberi 'Peringatan Denggi'

Diterbitkan: Khamis, 17 Julai 2014 7:03 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mewajibkan satu 'peringatan' mengenai denggi diberi kepada mereka yang menghadiri majlis-majlis awam.

Exco Negeri Datuk Teng Chang Khim berkata kes denggi adalah lebih serius di negeri ini dengan 34 kematian setakat ini, pada tahun ini berbanding 24 kematian bagi keseluruhan tahun lepas.

"Kerajaan telah membuat keputusan untuk mewajibkan satu peringatan mesra diberikan pada permulaan dan akhir semua majlis awam.

"Mesej yang sama juga perlu dihantar ketika solat Jumaat dan solat sunat tarawih," katanya.

Beliau berkata mesej akan dibaca: "Wabak denggi semakin serius dan semakin meningkat. Musnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan membuang air bertakung di rumah dan pejabat. Kekalkan kebersihan pada setiap masa dan di semua tempat."

Teng berkata langkah itu bagi mendidik orang ramai mengenai langkah-langkah pencegahan untuk menangani denggi.

"Gotong-royong yang biasa dilakukan telah terbukti tidak berkesan apabila laporan mendedahkan hanya antara 20 dan 30 orang penduduk tampil untuk usaha pembersihan pada hujung minggu" katanya.

Sebanyak 27,795 kes denggi telah direkodkan sehingga 12 Julai tahun ini di Selangor.

Teng berkata 1,612 hotspot denggi telah dikenal pasti sejak awal bulan ini yang menyebabkan 2,558 kes.

Teng berkata sebuah jawatankuasa bersama peringkat negeri telah ditubuhkan sejak Oktober tahun lepas bagi menangani gejala itu.

Beliau menambah mesej anti-Aedes telah disampaikan kepada hampir 70,000 pelajar sekolah sehingga Oktober. 

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang menyediakan sejumlah 80 pasukan anti-Aedes untuk membantu pihak berkuasa tempatan.
Tags / Kata Kunci: Aedes , denggi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan