Sultan Selangor Murka, Anggap Khalid Samad Biadap

Diterbitkan: Selasa, 15 Julai 2014 7:45 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kemurkaan baginda terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang sebelum ini mendesak supaya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu.

Menyifatkan wakil rakyat PAS itu bersikap biadap, baginda bertitah supaya Khalid yang bukan berasal dari Selangor supaya memahami sejarah negeri dan mendalami undang-undang yang terpakai di Selangor terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

Khalid Samad sebelum ini menggesa Kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Mais.
"Kenyataan Khalid Samad itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan Mais yang diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu beta dalam menjalankan kuasa beta sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor.

"Tindakan Khalid Samad mempersoalkan kuasa Mais seolah-olah menunjukkan sikap biadap dan penentangan kepada kuasa beta sebagai Ketua Agama Islam yang mendapat nasihat dari pihak Mais berkenaan agama Islam seperti yang sedia termaktub di bawah undang-undang," demikian titah bagida.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Pekan Sepang pada Selasa.

Kemurkaan baginda itu dizahirkan berikutan kenyataan Khalid pada 17 Jun lalu yang menggesa Kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Mais.

Bercakap pada sidang media di bangunan Parlimen Jun lalu, Khalid dengan lantang mencadangkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat supaya melakukan pindaan terhadap enakmen yang memberi kuasa eksekutif kepada Mais.

Selain itu baginda turut mengingatkan Khalid supaya lebih berwaspada sebelum membuat sebarang kenyataan khususnya membabitkan peranan Mais berkaitan agama Islam.

"Ini bukan kali pertama Khalid Samad telah mempersoalkan tentang isu berkaitan tentang kuasa eksekutif Mais dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.

"Oleh itu beta menyeru kepada Khalid Samad agar di masa akan datang beliau berwaspada di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadap dan jahil beliau apabila membicarakan isu berkaitan dengan kuasa beta dan peranan MAIS di dalam menasihati beta mengenai agama Islam," titah Sultan Sharafuddin.

Menerusi titah itu juga, Sultan Sharafuddin menegaskan Mais sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Segala tindakan yang dilakukan Mais dan Jais adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa menggangu penganut agama lain dalam menganut agama mereka.

"Beta sekali lagi menegaskan kepada semua pihak bahawa jangan jadikan Islam sebagai modal politik.

"Kesucian Islam perlu sentiasa dipelihara. Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian Islam dan perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara," titah baginda.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan