Komander Esscom Janji Penguatkuasaan Lebih Proaktif

Diterbitkan: Selasa, 15 Julai 2014 5:01 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun memberi jaminan tindakan penguatkuasaan undang-undang di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) akan lebih proaktif selepas ini.

Katanya akan wujud sedikit perubahan dari segi tugas membabitkan kesemua pasukan keselamatan yang bertugas di bawah Esscom.

"Hari ini hari pertama saya menjawat jawatan Komander Esscom. Saya akan menilai dan mengkaji panduan tersebut untuk melaksanakan apa juga tindakan mengikut undang-undang demi kesejahteraan dan kedaulatan negara," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Esscom, di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, Selasa.

Mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa pasukan keselamatan negara diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara, Abdul Rashid berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk melaksanakannya selagi mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Mengenai pertemuan beliau dengan Ketua Menteri, Abdul Rashid berkata Musa melahirkan harapan agar beliau dapat menggalas tanggungjawab itu dengan penuh amanah dan ikhlas demi kedaulatan negara.


Tags / Kata Kunci: Esscom

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan