Azizul Raheem Disambut Empat Anak

Diterbitkan: Selasa, 15 Julai 2014 9:48 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pegawai Tourism Malaysia, Azizul Raheem Awalludin, yang baharu dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan di Sweden kerana memukul empat anaknya, tiba di tanah air dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH001 dari London.

Ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 5.41 petang disambut empat anaknya, ibunya serta anggota keluarga lain yang menunggu di pejabat Tourism KLIA sejak 4.30 petang.

Suasana hiba dan sayu menyelubungi pejabat itu apabila Azizul memeluk anak-anaknya iaitu Aisyah, 15, Ammar, 12, Adam, 11, Ariff, 8, setelah tujuh bulan tidak bertemu dan berhubung.

Azizul Raheem berkata kepulangannya hari ini juga merupakan hadiah ulang tahun kelahiran ke-65 ibunya Rubiah Mohd Ghandi pada Selasa.

"Terima kasih diucapkan kepada semua yang mendoakan kami berdua (isterinya Shalwati Norshal). Kini semuanya telah berakhir. Isteri saya akan dibebaskan pada 29 Sept ini dan kami tidak sabar menunggu waktu itu," katanya kepada media selepas pertemuan dengan keluarganya.

Azizul Raheem, yang dibebaskan pada 9 Julai lepas, didakwa memukul anaknya sejak Sept 2010 dan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan manakala Shalwati dijatuhi hukuman penjara 14 bulan.

Bagaimanapun hukuman itu dikurangkan dan mereka masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.

Azizul Raheem berkata apa yang penting baginya kini ialah menjalani ibadah Ramadan dan berhari raya bersama anak-anak dan anggota keluarganya walaupun terkilan tanpa isterinya di sisi.

Ketika ditanya perancangan menyambut Aidilitri, beliau berkata belum membuat sebarang perancangan namun akan berbincang dengan anggota keluarganya mengenai lokasi sambutan itu.

Mengenai pengalamannya di penjara Sweden, Azizul Raheem berkata layanan yang diberikan kepadanya amat baik dan profesional namun terpaksa menjadi seorang vegetarian kerana sukar mendapat makanan halal.

Azizul Raheem berkata beliau juga tidak serik jika ditugaskan ke negara lain namun akan lebih berhati-hati dan peka undang-undang negara berkenaan.

Beliau turut mengingatkan rakan-rakan yang lain untuk membuat perkara yang sama jika ditugaskan di negara luar.

"Namun, saya tidak akan kembali ke Sweden dan hanya akan menunggu isteri di sini,"katanya.

Sementara itu, Rubiah menganggap kepulangan anaknya adalah hadiah terindah daripada Allah SWT dan beliau percaya apa yang dirancang oleh Allah adalah sesuatu yang terbaik untuk mereka sekeluarga.

Aisyah, anak sulung Azizul Raheem, pula berkata tiada kata yang boleh menggambarkan kegembiraannya dan adik-adiknya dengan kepulangan bapa mereka.

"Kami sangat bersyukur ayah pulang, kami juga telah merancang untuk menjadikan warna ungu sebagi tema pakaian hari raya tahun ini," katanya.
Tags / Kata Kunci: Azizul Raheem Awalludin

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan