Pasport Hilang Mungkin Dijual Di Pasaran Gelap – Penganalisis Jenayah

Diterbitkan: Isnin, 14 Julai 2014 3:30 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sebahagian pasport Malaysia yang hilang kemungkinan dijual di pasaran gelap yang didalangi sindiket yang menyediakan perkhidmatan kepada warga asing untuk memiliki pasport antarabangsa.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, pemalsuan pasport Malaysia dipercayai akan melalui proses penggubahan identiti pada gambar atau butiran di muka surat biodata dalam dokumen berkenaan.


Kamal Affendi

“Dipercayai pasport yang dijual itu digunakan pelarian atau pendatang asing tanpa izin (Pati) yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri,” katanya kepada mStar Online.

Menurut rekod Jabatan Imigresen, sebanyak 83,015 pasport Malaysia yang dilaporkan hilang sejak 2010 sehingga Mei tahun ini.

Daripada jumlah itu, kehilangan pasport yang disebabkan oleh kecurian atau rompakan mencatatkan kes tertinggi dengan 29,700 kes.

Kamal Affendi berkata, bagaimanapun, kebarangkalian kegiatan itu melibatkan pasport Malaysia versi berteknologi baharu jenis polikarbonat yang diperkenalkan tahun lalu adalah tipis.

“Sehubungan itu, Jabatan Imigresen diminta untuk mempertingkatkan risikan keselamatan bagi membanteras aktiviti pemalsuan pasport.

“Ciri keselamatan pasport Malaysia juga perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya lebih selamat,” katanya.

Sementara itu,  Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pula tidak menafikan terdapat permintaan terhadap pasport Malaysia untuk tujuan pemalsuan dokumen.



Lee Lam Thye

Katanya, permintaan itu menyebabkan terdapat cubaan penjenayah untuk mencuri pasport Malaysia sekiranya terdapat peluang dan ruang.

“Oleh itu, pemilik pasport sendiri seharusnya bertanggungjawab dalam menjaga pasport sebagai dokumen pengenalan diri mereka.

“Ini kerana kecuaian mereka yang menyebabkan kehilangan pasport akan memberi peluang ia dicuri dan kemudiannya disalahguna atau dijual kepada sindiket tertentu,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun Lam Thye berkata, ada kemungkinan pemilik pasport itu menjual dokumen mereka di pasaran gelap apabila ditawarkan sejumlah wang.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Imigresen digesa melaksanakan pemeriksaan lebih terperinci terhadap setiap permohonan pasport terutama bagi menggantikan pasport yang hilang.

Turut bersetuju dengan cadangan itu adalah penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar yang menyifatkan pemeriksaan tersebut akan memastikan kesahihan setiap permohonan pasport.



Akhbar

“Kita tidak mahu mereka yang mendalangi sindiket ini dengan sewenang-wenangnya membuat permohonan pasport, terutama dengan proses pengeluaran pasport kini lebih mudah.

“Jabatan Imigresen perlu mendapatkan justifikasi pemohon mengenai butiran kehilangan pasport mereka sebelum meluluskan permohonan gantian pasport mereka,” katanya.

Tags / Kata Kunci: pasport , sindiket

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan