PAS Tubuh Pasukan Khas Tangani Pencabulan Kebebasan Akademik

Diterbitkan: Isnin, 14 Julai 2014 1:00 PM

Salahudin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS menubuhkan pasukan khas untuk menangani isu pencabulan kebebasan akademik di negara ini.


Naib Presiden parti itu, Salahudin Ayub berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat pada Ahad.

Katanya, beliau bertindak sebagai pengerusi pasukan khas dan pada masa ini membabitkan kira-kira enam ahli jawatankuasa, antaranya ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zulkefly Ahmad.

"Kita mahu isu berkaitan pendidikan dan kebebasan golongan akademik  diberikan ruang yang luas untuk mereka berperanan demi memajukan universiti tempatan.

"Kita sedang merangka pelan tindakan (pasukan khas) dalam masa terdekat untuk ambil tindakan sewajarnya, yang bukan sahaja memperjuangkan kebebasan akademik, tetapi kesedaran awam mengenai bahaya kongkongan politik ke atas dunia pendidikan hari ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Isnin.

Antara yang dibangkitkan Salahudin mengenai peletakan jawatan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (Umcedel), Prof. Mohammad Redzuan Othman baru-baru ini, hinggakan kebebasan ahli akademik dipertikaikan pelbagai pihak.

Ini termasuk isu bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) sebagai bantahan berikutan pemecatan kontroversi Mohammad Redzuan.

Beliau menegaskan bahawa persepsi campur tangan pihak penguasa politik atau Putrajaya sememangnya tidak dapat dielakkan.

"PAS mengambil insiden ini sebagai peringatan keras kepada semua penguasa politik sama ada (Kerajaan) Persekutuan atau Negeri, BN (Barisan Nasional) atau Pakatan Rakyat, supaya menghormati kebebasan golongan akademik dan universiti awam di negara ini.

"Bagi memacu kecemerlangan universiti dan keaslian sumbangan kepada ilmu dan pengkaryaan, ahli akademik bukan sahaja mesti diberi ruang untuk menghasilkan sumbangan asli dan 'fundamental' bahkan mendapat dorongan serta pengiktirafan," katanya.

Beliau menambah, selama ini, golongan akademik dan mahasiswa disekat serta dihalang menerusi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Akta Institusi Pelajaran 1976.

Mengenai pasukan khas, katanya, ia terdiri daripada tokoh dan badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan dan pihak yang ingin memperjuangkan masa depan pendidikan terutama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

"Kumpulan ini akan dipanggil menyertai wacana, diskusi, seminar atau simposium pendidikan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan," katanya. 


Tags / Kata Kunci: PAS , pencabulan kebebasan akademik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan