Gelang Emas Antara Sumbangan Ke Gaza - Aman Palestin

Diterbitkan: Isnin, 14 Julai 2014 5:19 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tidak hanya terbatas kepada wang ringgit serta barangan keperluan asas dan perubatan, Aman Palestin turut menerima sumbangan berbentuk barang kemas bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Pangarah Medianya, Anas Abdul Wahab berkata, pertubuhan bukan kerajaan itu pernah mengumpul hasil sumbangan barang kemas seperti rantai, gelang dan cincin emas.

"Terbaharu, menerusi kutipan derma amal di lokasi tumpuan orang ramai di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pihak Aman Palestin turut menerima sumbangan berupa cincin dan gelang emas.

"Selalunya sumbangan sebegini banyak diterima melalui kaunter cawangan dari seluruh negara," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Mengulas lanjut Anas berkata, pihaknya menerima apa sahaja sumbangan daripada orang ramai yang mahu membantu meringankan beban rakyat Palestin yang ditindas tentera rejim Israel.

"Rakyat Malaysia begitu prihatin dengan penderitaan di Gaza. Justeru kami terbuka dan menerima apa sahaja sumbangan orang ramai.

"Bagaimanapun sumbangan dalam bentuk wang ringgit lebih mudah diuruskan untuk di salurkan ke sana," katanya.

Jelas Anas, pada Jumaat lalu Aman Palestin menghantar bantuan misi kemanusiaan ke Gaza bernilai RM1.6 juta.

Menurutnya Aman Palestin dijangka menghantar misi perubatan ke Gaza pada 18 Julai ini bersama lima doktor terlatih.

"InsyaAllah kita akan berada di sana selama sepuluh hari. Turut bakal mengikut Aman Palestin ke sana ialah wakil agensi media," katanya.

Media melaporkan sehingga kini lebih 170 nyata terkorban manakala beratus-ratus yang lain tercedera dalam serangan Israel di Gaza yang masuk hari ke tujuh.
Tags / Kata Kunci: Aman Palestin , Gaza

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan