Perkhidmatan Monorel Ditutup Lebih Awal Pada Jumaat

Diterbitkan: Khamis, 10 Julai 2014 12:32 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan monorel RapidKL akan ditutup sejam lebih awal daripada biasa pada 11 malam, Jumaat ini, untuk kerja-kerja operasi penuh sistem semboyan yang baharu.

Perkhidmatan monorel untuk hari berikut pada Sabtu akan bermula lewat sejam pada 7 pagi dan bukan 6 pagi seperti biasa.

Ketua Pegawai Operasi Monorel, Abdul Hadi Amran berkata penutupan itu perlu untuk membolehkan sistem semboyan yang baharu mula beroperasi kerana sistem semboyan itu perlu untuk permudahkan operasi tren empat koc yang baharu.

"Pada pukul 7 pagi Sabtu ini, perkhidmatan monorel akan beroperasi menggunakan sistem semboyan baharu yang menggabungkan operasi tren dua koc dan tren empat koc yang akan memulakan perkhidmatan pada suku ketiga tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Abdul Hadi berkata susulan pemberhentian perkhidmatan monorel selama satu jam pada malam Sabtu, perkhidmatan bas pengantara akan disediakan bagi penumpang dengan bayaran RM1 bagi perjalanan sehala.

"Sebanyak enam buah bas pengantara disediakan dengan melalui tiga laluan yang serupa seperti pada April termasuk perkhidmatan terus dari KL Sentral ke Titiwangsa.

Dua lagi laluan ialah antara KL Sentral dan Bukit Bintang, dan antara Bukit Bintang dan Titiwangsa, kata beliau.

"Kami memohon maaf kepada pengguna atas kesulitan ini dan dengan tulus berharap pengguna memahaminya. Ini untuk penambahbaikan perkhidmatan monorel pada masa depan," kata Abdul Hadi.
Tags / Kata Kunci: Monorel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan