Lagi Restoran Jual Arak Tawar Bufet Ramadan Dikesan

Diterbitkan: Rabu, 9 Julai 2014 4:07 PM

Premis yang menjual arak dan mengadakan promosi bufet Ramadan akan disiasat dan dikenakan tindakan oleh Jakim.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sebuah lagi restoran yang menjual arak dikesan menyediakan sajian dan promosi bufet Ramadan seperti sebuah premis yang telah diserbu pada Isnin lalu.

Penolong pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mohamad Saidi Jaafar berkata, helah restoran yang tidak mempunyai sijil halal itu terbongkar selepas Jakim melakukan serbuan di premis-premis makanan di pusat beli-belah di The Curve, di sini, Rabu.

"Ini merupakan restoran kedua yang dikesan oleh Jakim yang tidak mempunyai sijil halal tetapi menawarkan bufet Ramadan kepada pelanggannya.

"Selain menawarkan promosi bufet Ramadan melalui flyers dan poster, kita juga mendapati restoran tersebut mempunyai bar arak dan menjual arak...kita melihat ini sebagai kritikal," katanya ketika ditemui selepas melakukan serbuan yang turut disertai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor.

Mohamad Saidi berkata Jakim telah merampas flyers dan poster promosi Ramadan yang ditawarkan restoran terbabit dan mengarahkan supaya promosi itu dihentikan.

Beliau berkata mana-mana premis yang tidak mempunyai sijil halal tidak dibenarkan melakukan promosi berbuka puasa menggunakan 'perbahasaan halal' melalui bunting, kain rentang dan sebagainya.

"Kita akan menjalankan siasatan lanjut terhadap premis ini dan jika sabit kesalahan mereka akan dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

"Kita tidak mahu umat Islam dikelirukan dan diperdaya dengan bentuk promosi dengan perbahasaan halal seperti ini," tegasnya.

Menurut Mohamad Saidi, restoran makanan barat yang mempunyai beberapa cawangan lain di sekitar Lembah Klang itu tidak menunjukkan minat memohon mendapatkan sijil halal Jakim.

"Ketika serbuan, pengurus restoran beritahu kita jika sijil halal Jakim dipohon, ia tetap tidak akan diluluskan kerana mereka menjual arak.

"Memang betul kerana Jakim memang tidak akan memberikan sijil halal kepada premis yang menjual arak," katanya.

Mengulas lanjut mengenai operasi hari ini, beliau berkata dua premis lain juga telah diberikan amaran keras kerana menawarkan promosi Ramadan tetapi tidak mempunyai sijil halal.

Katanya, pemilik premis berkenaan bagaimanapun telah menyatakan minat untuk memohon sijil halal Jakim selepas serbuan dilakukan.

Beliau menasihatkan umat Islam di negara ini supaya berbuka di premis yang mempunyai logo halal dan memastikan logo tersebut yang benar-benar disahkan oleh Jakim.

Tags / Kata Kunci: sijil halal , bufet Ramadan , bar arak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan