Prasarana Perkenal Pasport Keselamatan Kontraktor, Pekerja

Diterbitkan: Selasa, 8 Julai 2014 6:03 PM

Amirudin Ma'aris.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) akan memperkenalkan sistem pasport keselamatan kepada semua kontraktor dan pekerja di bawah syarikat itu sebagai langkah mempertingkat amalan keselamatan di tempat kerja.

Pengarah Kumpulan Pembangunan Infrastruktur Prasarana Amirudin Ma'aris berkata di bawah sistem itu, hanya pemegang dokumen berkenaan dibenarkan mengakses kawasan projek.

"Kontraktor dan pekerja mereka dikehendaki menghadiri taklimat keselamatan dan perlu lulus ujian yang diadakan pada akhir sesi sebelum layak menerima pasport keselamatan ini," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Untuk tujuan itu, Prasarana telah memeterai memorandum persefahaman (MoU)dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Kebangsaan (NIOSH).

"Kumpulan Prasarana akan bekerjasama erat dengan NIOSH dalam pelaksanaan segala keperluan yang tercatat di bawah pasport keselamatan berkenaan dan semua program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja," kata Amirudin.

Modul bagi sistem pasport itu sedang dirangka kedua-dua pihak, menurut kenyataan itu.

Prasarana merupakan pemilik beberapa projek infrastruktur pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang.


Tags / Kata Kunci: Prasarana , Amirudin Ma'aris

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan