Rizalman Masih Dirawat Di Hospital

Diterbitkan: Isnin, 7 Julai 2014 7:34 PM

Muhammad Rizalman Ismail.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu staf pertahanan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand yang dituduh melakukan jenayah, masih lagi menerima rawatan di hospital dan tidak akan dihantar ke sana dalam masa terdekat.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika mengesahkan perkara itu berkata anggota itu masih lagi menerima rawatan psikiatrik di sebuah hospital di sini dan hanya akan dihantar apabila keadaannya sesuai.

"Buat masa ini dia masih di hospital," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan bungkusan Hari Raya kepada Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt 850-1) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan, Isnin.

Sumbangan berupa pakaian dan makanan disampaikan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Zulkifeli mengulas kes melibatkan Muhammad Rizalman Ismail, bekas Pembantu Staff Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, yang didakwa melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat merogol.
 
Muhammad Rizalman, 38, ditahan di New Zealand pada 9 Mei lepas dan dibawa ke mahkamah pada keesokan harinya untuk didakwa. 

Rabu lepas, Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menghantar Rizalman balik ke New Zealand untuk membantu siasatan kes itu, tetapi tiada tarikh ditetapkan.

Pada Ahad, dilaporkan Peguam Negara sedang berurusan dengan pihak berkuasa New Zealand untuk menentukan tarikh penghantaran balik anggota terbabit ke negara berkenaan.

Mengulas saranan sesetengah pihak supaya anggota terbabit diadili di mahkamah tentera dan bukannya mahkamah awam, Zulkifeli berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum sesuatu keputusan diambil.

"Itu adalah pandangan peribadi masing-masing. Permohonan New Zealand (hantar balik anggota) perlu dipertimbang menerusi Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan Pejabat Peguam Negara," katanya.
 
Laporan Bernama menyebut, dua bekas Panglima Angkatan Tentera berpendapat kes pertama kali dalam sejarah pertahanan negara ini perlu diadili di mahkamah tentera kerana anggota tersebut bukan orang awam.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis tersebut, Zulkifeli berkata Malbatt 850-1 ini diletakkan di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat Unifil, Shama yang telah dibentuk berteraskan kontingen dari Itali dan menduduki empat buah pangkalan tetap iaitu di Kem Tibnin, Kem Harress, Bara'ashit dan Ma'rakah.

Kumpulan ini dengan kekuatan 850 orang, turut disertai 26 orang anggota dan pegawai dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan akan berkhidmat setahun sebelum digantikan dengan kumpulan lain Oktober ini.
Tags / Kata Kunci: Muhammad Rizalman Ismail , New Zeland

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan