Pelbagai Pihak Bantu Keluarga Remaja Dipukul Bapa Hingga Mati

Diterbitkan: Isnin, 7 Julai 2014 2:21 PM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Pelbagai pihak pada Isnin tampil bagi memberi bantuan kepada keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz Abd Ghani, 17, yang meninggal dunia dipercayai akibat dipukul bapanya sendiri hanya kerana menyatakan hasrat untuk bekerja membantu keluarga.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin berkata pergerakan itu akan mendapatkan rawatan psikologi untuk ibu mangsa Siti Habibah Ismail, 38, dan sembilan lagi anaknya yang kini trauma.

"Keluarga ini bukan sahaja hadapi tekanan kerana kejadian ini malah mereka semua trauma akibat hidup dengan seorang ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan kematian anak sulung keluarga ini.

"Selain itu, kita juga akan memberikan bantuan kewangan awal sebanyak RM1,000 kepada keluarga ini," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa di Bilik Mayat Hospital Melaka di sini.

Dalam kejadian 5 petang Sabtu lepas, Muhamad Hafiz dilaporkan bertengkar dengan bapanya Abdul Ghani Sapuan, 52, kerana menyatakan hasrat ingin bekerja membantu keluarga, di rumah mereka di Kampung Jawa, Alor Gajah sebelum dipukul sehingga pengsan oleh bapanya.

Mas Ermieyati berkata pergerakan itu juga akan membantu dalam usaha mendaftarkan sembilan anak keluarga itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara bagi mendapatkan dokumentasi dan sijil pengenalan yang sah.

"Anak-anak ini tiada pengenalan diri yang menyukarkan mereka untuk bersekolah dan urusan lain pada masa hadapan, kita akan pastikan perkara ini diselesaikan supaya anak-anak ini dapat belajar di sekolah nanti," kata Mas Ermieyati.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata pusat itu akan membantu Siti Habibah mendapatkan rumah bantuan kerajaan dengan sewa paling minimum selain membantu untuk mendapatkan pekerjaan sesuaisekiranya beliau membuat keputusan kekal menetap di Melaka.

"Pembela BN juga akan menguruskan segala belanja pengurusan jenazah Allahyarham (Muhamad Hafiz) dan kita akan pastikan nasib anak-anak lain terbela," katanya.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan memastikan nasib keluarga itu akan terjaga.

"Sekiranya keluarga ini mengambil keputusan untuk tinggal di Klang, Selangor JKM Melaka akan bekerjasama dengan JKM Selangor bagi memastikan keluarga ini mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.


Tags / Kata Kunci: Melaka

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan