Kesatuan Sekerja Halangan Utama Pemulihan MAS

Diterbitkan: Ahad, 6 Julai 2014 2:55 PM

Wan Saiful Wan Jan

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Halangan utama bagi Malaysia Airlines (MAS) untuk kembali meraih keuntungan adalah kesatuan sekerjanya, kata sebuah kumpulan pemikir utama, Ahad. 

Ketua Pegawai Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan berkata setiap kali usaha dibuat untuk melakukan pembaharuan atau penyusunan semula syarikat penerbangan itu bagi mendapatkan semula keuntungan, kesatuan sekerja akan bangkit menentang kebanyakan daripada cadangan-cadangan yang diusulkan. 

"Jadi saya rasa apa yang kita perlu lakukan untuk menjadikan MAS syarikat yang menguntungkan adalah dengan menjinakkan pengaruh kesatuan sekerjanya. Mereka agak terlalu berpengaruh, terlalu lantang, terlalu berkuasa. Ya, harus menghormati hak pekerja kerana hak mereka amat perlu dihormati. 

"Tetapi kuasa kesatuan sekerja kadang-kadang tidak selari dengan kepentingan syarikat itu sendiri. Ironinya jumlah kakitangan MAS terlalu besar sedangkan syarikat itu sendiri mengalami kerugian. Biasanya, sesebuah syarikat akan mengurangkan kos apabila ia tidak mencatatkan prestasi yang baik," katanya kepada Bernama. 

Wan Saiful juga mengkritik kesatuan sekerja itu kerana keengganannya untuk berubah, sambil menambah mereka harus menerima perubahan agar syarikat penerbangan tersebut boleh diselamatkan.

Beliau berkata untuk menyelamatkan keseluruhan syarikat, beberapa keputusan yang sukar perlu diambil dan sekiranya kesatuan sekerja berterusan menentang, tidak ada apa yang boleh dicapai. 

Apabila diminta pandangannya tentang apakah pokok masalah MAS, Wan Saiful berkata syarikat penerbangan nasional itu setanding dari segi menyediakan perkhidmatan terbaik walaupun jika dibandingkan dengan syarikat penerbangan utama seperti Emirates atau American Airlines tetapi ia tidak dapat bersaing dari segi harga. 

Menyebut satu contoh, beliau berkata bagi penerbangan selama 45 minit ke Pulau Pinang dari sini, penumpang lebih memilih pilihan yang lebih murah berbanding MAS kerana mereka tidak kisah jika dihidangkan dengan sandwic sekalipun kerana mereka boleh bertahan walaupun tanpa meminum air semasa penerbangan.

Begitu juga, terdapat perbezaan besar beberapa ribu ringgit tambahan bagi penumpang yang menaiki MAS ke Dubai dari sini berbanding menaiki Emirates.

"Jadi terdapat kos yang besar, berlakunya persaingan kos yang sengit dan MAS perlu benar-benar berusaha menanganinya. Saya rasa ini adalah masalah paling besar, mereka perlu mengurangkan kos dengan ketara tetapi atas sebab-sebab tertentu ini tidak berlaku," kata Wan Saiful.

"Juga salah satu daripada perbelanjaan terbesar adalah bagi kos kakitangan dan dengan kesatuan sekerja menentang keras perubahan itu, ianya tidak akan berlaku." 

Wan Saiful juga menggesa hubungan antara MAS sebagai sebuah syarikat atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan. 

"Ia perlu diputuskan. Apabila anda putuskan, barulah MAS perlu beroperasi sendiri. Ia tidak boleh lagi bergantung kepada bantuan menyelamat. Jika anda perlu ditutup, anda perlu ditutup dan barulah kakitangan akan dapat melihat realiti sebenar dan kesatuan sekerja tidak lagi boleh bermain politik kerana anda kini hanya sebuah syarikat sama seperti yang lain dan tidak ada orang yang akan melindungi anda lagi. 

"Jika anda putuskan hubungan itu, saya rasa akan ada berlaku beberapa perubahan besar," katanya. 

Beliau berkata selagi MAS kekal sebagai GLC, kakitangannya akan merasakan mereka selamat kerana apa juga yang akan berlaku kerajaan akan sentiasa menyelamatkan mereka. 

Wan Saiful berkata isu dalam MAS bukan lagi tentang apa model yang perlu diguna pakai tetapi sama ada atau tidak terdapat kesungguhan politik untuk berubah. 

"Dan seperti semua yang lain di Malaysia, apabila tiba kepada kesungguhan politik untuk membuat keputusan sukar, ia tidak akan berlaku," katanya.
Tags / Kata Kunci: kesatuan sekerja , MAS , Wan Saiful Wan Jan

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan