Pelbagai Pihak Gesa Tindakan Sewajarnya Diambil Ke Atas Individu Hina Nabi Muhammad

Diterbitkan: Ahad, 6 Julai 2014 9:06 PM

Status akaun Facebook milik David Orok yang menunjukkan tindakannya menghina Nabi Muhammad.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Anggota Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap anggota Parti Reformasi Negeri (Star) David Orok kerana mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam. 

Azizah yang juga Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) berkata perbuatan menghina nabi itu boleh mencetuskan rasa benci serta marah di kalangan rakyat di negara ini dan di Sabah amnya.
 
"Di Sabah terdapat lebih 30 suku kaum yang menganuti pelbagai agama namun kita hidup dalam perpaduan dan keharmonian, malah dalam sesebuah keluarga itu juga terdiri daripada pelbagai agama tetapi mampu hidup dalam keadaan rukun dan damai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azizah berkata tindakan David itu boleh memecah-belahkan anggota masyarakat dan sekiranya tidak ditangani dengan serius boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini khususnya di Sabah.

David, yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Sulaman pada pilihan raya umum lalu, mencetus kontroversi apabila menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW di laman Facebook baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sepanggar Ramlan Awal berkata tindakan David itu jelas tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam di negeri ini.

Beliau berkata lebih menyedihkan, David turut melontarkan kata-kata cacian terhadap mereka yang berbuat laporan polis berhubung isu itu, misalnya Pemuda Umno Tuaran, NGO dan pertubuhan politik yang lain.
 
"Ia secara tidak langsung menunjukkan individu ini sengaja mencari publisiti murahan dengan membuat kenyataan terbuka di Facebooknya termasuk bersikap biadab terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad S.A.W," katanya.

Ramlan berkata pihaknya turut membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan dan berharap tindakan wajar segera diambil terhadap individu itu.

Semalam, Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Sabah (Concerns) membuat laporan polis terhadap David berhubung isu itu.
 
Di SHAH ALAM, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor membuat laporan polis terhadap David kerana didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial itu baru-baru ini.

Yang Dipertua Perkasa Selangor Abu Bakar Yahya berkata laporan polis itu dibuat supaya pihak berkuasa dapat menyiasat tujuan David mengeluarkan kenyataan sedemikian sehingga mengguris perasaan umat Islam di negara ini.
 
"Ayat-ayat yang ditulis David di Facebook amat mengguris hati umat Islam. Sebagai bukan Islam, tidak sepatutnya mana-mana pihak bercakap tentang Islam jika tidak tahu menjaga sensitiviti orang lain.
 
"Kita gesa polis siasat individu ini supaya tindakan boleh diambil terhadapnya sama ada kenyataan itu dikeluarkan sendiri oleh dia atau ada pula desakan pihak tidak bertanggungjawab mahu berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Menurutnya, beberapa lagi cawangan Perkasa di seluruh Selangor antaranya Klang, Kapar, Serdang, Selayang, dan Kelana Jaya turut membuat laporan polis sebagai gesaan supaya tindakan tegas dikenakan terhadap David.

Abu Bakar berkata biarpun David telah meminta maaf kepada seluruh umat Islam berikutan kenyataannya itu menerusi Facebook, namun pihak berkuasa tetap didesak melakukan siasatan terhadapnya sebagai peringatan supaya tiada lagi pihak lain cuba mengulangi perbuatan sama.




iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan